Wednesday, February 3, 2010

Wujudkan badan pemantau khas – MB

Mohamad Hasan (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada penduduk Flat Jalan Templer di Lobak semasa melakukan lawatan ke situ 28 Januari lalu. Beliau turut mahu badan pemantau khas diwujudkan di flat berkenaan supaya masalah di situ dapat diatasi secara berterusan.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 3 Feb 2010 – Kerajaan negeri mahu badan pemantau khas diwujudkan di Flat Jalan Templer di sini supaya masalah di kawasan perumahan tersebut dapat diatasi secara berterusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha pihak berkuasa untuk memberi keselesaan kepada penghuni rumah pangsa tersebut tidak disalahgunakan.

“Apa yang dapat saya lihat ada penghuni yang menyalahgunakan stor dengan meletakkan barang di kawasan itu. Ini akan menyebabkan berlaku timbunan sampah.

“Malah saya juga tidak berpuas hati dengan sistem penyelenggaraan sampah yang tidak efisien dan sehubungan itu penambahbaikan perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada penduduk,” kata beliau di sini hari ini.

Ujarnya, ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan sebanyak dua kali sebulan di kawasan berkenaan yang dilihat perlu dilaksanakan secara berterusan.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan bagi membina taman permainan secara berpagar untuk kemudahan penghuni di kawasan berkenaan.

“Saya pasti selepas perbincangan dengan pelbagai pihak terlibat, kemudahan asas di situ akan dapat diselenggara dengan baik.

“Kita mahu supaya walaupun rata-rata penduduk adalah mereka yang berpendapatan rendah, tetapi apa yang penting ialah mereka dapat menikmati suasana kehidupan yang lebih selesa,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment