Sunday, July 25, 2010

Rondaan 24 jam di laluan maut

2010/07/26
KUALA KRAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan rondaan 24 jam di laluan seluruh negara yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan sempena Aidilfitri kali ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan, berkata langkah terbabit antara dua pendekatan diambil termasuk memantau dan membuat pemeriksaan di 37 terminal bas ekspres seluruh negara. Beliau berkata, rondaan 24 jam di jalan maut akan dijalankan dua minggu sebelum dan selepas perayaan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas. Pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas akan disaman serta-merta oleh anggota yang melakukan rondaan.

Kami sedang melakukan percubaan rondaan dan pemerhatian di jalan yang sering berlaku kemalangan maut serta mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pemandu, katanya

Wednesday, July 21, 2010

Selangor cadang tubuh suruhanjaya

SHAH ALAM 21 Julai 2010 – Kerajaan negeri bercadang menubuhkan suruhanjaya bagi mengkaji semula keperluan sebenar air bersih bagi Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendekatan itu diambil kerana cadangan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor adalah berdasarkan kajian air kebangsaan pada tahun 2000 yang dilakukan oleh Unit Perancangan Ekonomi pada tahun 2000.

Namun jelasnya, kerajaan negeri mendapati unjuran yang digunakan pada masa itu adalah keperluan air yang begitu banyak berbanding penggunaan per kapita di Singapura dan Sydney.

‘‘Bagi kita Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) tidak layak membuat kajian tersebut sebab itu kerajaan negeri akan menubuhkan suruhanjaya bagi membuat kajian semula keperluan air di Lembah Klang.

‘‘Kita akan melakukan tender terbuka untuk melaksanakan kerja-kerja kajian semula penggunaan air itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, perkara lebih penting adalah mempercepatkan penyelesaian untuk menstruktur semula pengambilan industri air di Selangor yang kini masih dalam perbincangan.

Ujarnya, usaha itu perlu mengikut peruntukan Akta Industri Air yang telah diluluskan di Parlimen yang menetapkan penstrukturan semula itu harus dilakukan dan ia dikendali serta dimiliki oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap Syabas dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku apabila daripada kira-kira 380 liter air yang dirawat hanya 250 liter diterima oleh pengguna.

‘‘Ini menunjukkan 136 liter hilang kerana bocor dan sebagainya. Keadaan itu turut menggambarkan kita kekurangan 35 peratus bagi setiap 380 liter,” tambah beliau.

Abdul Khalid berkata, kalau kehilangan itu dikurangkan kepada 15 peratus mungkin masalah bekalan air tidak cukup di Selangor tidak timbul sama sekali.

Tabung hasil sawit bantu SAR

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2010/07/22
Perak lulus 2,000 hektar tanah untuk Perbadanan Ekonomi Islam

IPOH: Kerajaan Perak meluluskan kira-kira 2,000 hektar tanah untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan hasilnya digunakan untuk mengisi tabung penyelenggaraan sekolah agama rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam di negeri itu. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pembangunan tanah berhampiran FELDA Besaut, Sungkai, itu akan diuruskan Perbadanan Ekonomi Islam Perak, manakala tabung SAR akan dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri atau Yayasan Perak. Katanya, tabung khas menerusi hasil kelapa sawit itu bertujuan menyediakan sumber kewangan secara mapan untuk hampir 700 SAR, maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam, selain peruntukan tahunan bagi pengurusan institusi berkenaan daripada Kerajaan Perak.

"Ini usaha kita menaik taraf dan membaiki kedudukan SAR di Perak yang sebahagiannya dalam keadaan tidak memuaskan dan masalah lain, selain keadaan bangunan.

"Kita mengambil pendekatan dengan menubuhkan tabung khas untuk memperkasa SAR dan tabung khas ini diuruskan oleh kerajaan negeri atau Yayasan Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Zambry berkata, Persatuan SAR Perak juga menyatakan minat mereka untuk menguruskan pembangunan ladang kelapa sawit berkenaan dan kerajaan negeri akan membabitkan mereka dalam setiap perancangan berkaitan SAR, maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam.
“Wakil Persatuan SAR berjumpa saya minggu lalu untuk berbincang kerana mereka mahu menguruskan secara bersama ladang ini.

"Kita berharap dana daripada projek tanaman kelapa sawit ini akan memberi pulangan yang baik untuk SAR," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri juga meluluskan tanah kira-kira 1,000 hektar untuk sembilan sekolah persendirian Cina atau dikenali sekolah wang awam (SUWA), juga berhampiran FELDA Besaut.

Friday, July 16, 2010

Permainan siber subjek sekolah

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my



AHMAD Shabery Cheek memetik gitar sebagai gimik merasmikan Permainan Siber Dunia (WCG) 2010 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 16 Julai - Kementerian Belia dan Sukan mencadangkan permainan siber diperkenalkan sebagai salah satu subjek pembelajaran untuk sekolah rendah dan menengah.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu selaras dengan kemajuan era teknologi dan siber di seluruh dunia serta termasuk untuk industri kreatif di negara ini yang sedang berkembang.

Kata beliau, permainan siber yang akan diserap dalam subjek itu bagaimanapun mesti mempunyai beberapa nilai tambah yang berteraskan pendidikan.

''Permainan siber tidak semestinya negatif. Ia merupakan satu kaedah untuk meningkatkan daya ketahanan mental agar lebih cekap dan pantas.

''Perkara ini perlu diberi perhatian. Kementerian melihat perkara ini penting kerana sudah tiba masa untuk anak-anak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Permainan Siber Dunia (WCG) 2010 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Shaifubahrim Saleh.

Ditanya mengenai kesan negatif dalam sesuatu permainan siber yang ada kalanya berkonsepkan keganasan, Ahmad Shabery berkata, tidak dinafikan ia akan wujud tetapi pemantauan guru dan ibu bapa amat diperlukan.

''Sukar untuk kita kawal pelajar daripada tidak terlibat dengan permainan berbentuk keganasan tambahan dunia teknologi maklumat semakin berkembang, paling penting adalah bagaimana penjaga mencorakkan anak-anak mereka supaya tidak cenderung ke arah itu," kata beliau.

WCG 2010 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Pameran Mid Valley itu mempertandingkan sebanyak enam permainan siber untuk 500 peserta.

Enam permainan itu ialah Counter Strike 1.6, Warcraft 3: The Frozen Throne, Starcraft: Brood War, FIFA 10, Tekken 6 dan Guitar Hero 5. Counter Srike merupakan satu-satunya permainan yang melibatkan satu pasukan dengan lima orang pemain.

Pasukan yang akan memenangi tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan lima buah Acer Netbook, Left 4 Dead Game Box, hamper dan pingat, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM2,000 beserta produk lain.

Tidak ketinggalan, juara Warcraft 3: The Frozen Throne dan FIFA 10 akan berpeluang untuk mewakili Malaysia dalam acara e-Sukan Olympics dunia iaitu peringkat akhir WCG di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 30 September hingga 3 Oktober ini

Wednesday, July 14, 2010

Klinik bergerak 1Malaysia akan diperkenalkan

Najib Tun Razak menerima cenderamata berupa gambar bapanya semasa merasmikan bangunan MAA, pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 14 Julai - Kerajaan akan memperkenalkan klinik bergerak 1Malaysia untuk penduduk di kawasan-kawasan terpencil khususnya yang tidak mempunyai akses terhadap perkhidmatan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan adanya perkhidmatan tersebut ia akan membolehkan penduduk di kawasan berkenaan mendapat rawatan kesihatan terbaik daripada kerajaan.

Beliau berkata, selain menyediakan rawatan pesakit luar, kakitangan klinik itu juga mampu melakukan pembedahan kecil ke atas pesakit yang memerlukan.

"Pelancaran klinik bergerak 1Malaysia ini akan dilakukan dalam waktu terdekat ini. Langkah ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia.

"Langkah ini juga sejajar dengan pendirian kerajaan bahawa rakyat perlu didahulukan dalam semua perkara termasuk perkhidmatan kesihatan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) sempena ulang tahun ke-50 persatuan itu, di sini malam ini.

Najib dalam ucapannya turut menyatakan bahawa sehingga 4 Julai lalu seramai 644,315 pesakit mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia yang mula diperkenalkan awal tahun ini.

Beliau turut optimis sasaran untuk mendapatkan nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit mampu dicapai menjelang 2020

Friday, July 9, 2010

S'gor perkenal 'LayaRakyat' salur maklumat pada rakyat

Jul 9, 10 3:56pm

Kerajaan Selangor kini menggunakan pendekatan baru yang menggabungkan tayangan video penerangan dasar kerajaan negeri dengan kaunter Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menyampaikan maklumat mengenai produk MES kepada orang ramai.


Program yang dinamakan 'LayaRakyat' ini bakal fokus di tapak pasar malam kawasan luar bandar dalam negeri Selangor.

'Tumpuan lokasi pertama adalah di pasar malam Daerah Sabak Bernam, mulai 6 sehingga 24 Julai, jam 7 malam hingga ke 9 malam," kata pengarah penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Baharom.

Menurutnya, pihak urusetia akan menayangkan video di atas layar putih mengenai dasar kerajaan negeri, membuka kaunter pendaftaran serta penerangan program Merakyatkan Ekonomi Selangor, khususnya Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Anak Masuk IPT.

“Kaedah ini membolehkan maklumat dasar kerajaan negeri disampaikan kepada masyarakat umum dengan tepat dan cepat, serta menggalakkan orang ramai mengambil bahagian secara aktif dalam setiap program kebajikan yang dijalankan,” katanya,

Dr Badrul Amin menegaskan demikian ketika melancarkan projek LayaRakyat di pasar malam Sungai Besar Selasa lalu.

Menurutnya, pendaftaran Tabung Warisan Anak Selangor kini dibuka kepada anak kelahiran di sempadan seperti Selangor-Perak, Selangor-Negeri Sembilan dan Selangor-Wilayah Persekutuan.

Manakala ibu bapa yang bermastautin selama lima tahun di daerah yang bersempadan Selangor, juga layak memohon untuk mendaftar bayi mereka.

Dr Badrul Amin berkata, Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat prihatin terhadap kebajikan rakyat Selangor.

"Pelbagai program rakyat telah dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, khususnya golongan miskin, di mana hasil negeri dapat dinikmati oleh rakyat.

“Oleh itu program LayaRakyat turun ke padang bertemu dengan rakyat agar rakyat dapat memahami dasar-dasar kerajaan negeri dengan baik.

'Program ini akan dilaksanakan secara berterusan di daerah-daerah lain selepas ini,” tegas Badrul.

Beliau berharap agar rakyat dapat memberikan sokongan berterusan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.

E-perkhidmatan TNB bagi memudahkan pemantauan bil elektrik

2010/07/09
KUALA LUMPUR: Pelanggan kini boleh memantau akaun bekalan elektrik masing-masing menerusi https://e-services.tnb.com.my, perkhidmatan percuma berasaskan web oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Pelanggan boleh mendaftar untuk "maklumat bil pelanggan dalam talian" menerusi perkhidmatan itu, kata TNB dalam satu kenyataan. Perkhidmatan berkenaan membolehkan pelanggan menyemak jumlah bil tertunggak, butiran akaun, maklumat bil dan pembayarannya. Pelanggan TNB yang menyewa atau memajak premis masing-masing akan mendapati maklumat ini penting kerana ia membolehkan mereka menjejak akaun elektrik yang didaftarkan atas nama mereka.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh menghubungi Pusat Pertanyaan Sehenti TNB di 1-300-88-5454.

Pelanggan boleh menyemak status baki bil dan pembayaran dengan mengunjungi Kedai Tenaga terdekat. - Bernama

Thursday, July 8, 2010

Dua padi baru diperkenal

Oleh Mustafa Ngah Mansor

2010/07/09
KAMPUNG GAJAH: Kerajaan semalam melancarkan dua varieti padi baru, MR220CL1 dan MR220CL2 yang mampu menangani masalah serangan padi angin yang menjejaskan pesawah di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata varieti terbabit juga mempunyai ketahanan tinggi terhadap racun rumpai. Katanya, kementerian mahu varieti padi berkenaan segera sampai kepada pesawah bagi mengatasi kerugian yang mereka alami sejak beberapa tahun lalu akibat serangan padi angin. Perangkaan kementerian menunjukkan kerajaan mengalami kerugian sehingga RM80 juta semusim pada 2004 akibat serangan padi angin dan angka itu berkemungkinan mencecah RM100 juta sekarang, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengisytiharan varieti padi baru MR220CL1 dan MR220CL2 di Pusat Estet Benih Padi FELCRA Berhad, Changkat Lada, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Hashim Abdullah dan Pengerusi FELCRA Bhd, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Noh berkata, benih asal kedua-dua varieti padi baru itu berasal dari Amerika Syarikat dan dibawa masuk ke negara ini pada 2003 untuk dibuat kajian secara terperinci.
Katanya, MARDI dengan kerjasama Syarikat BASF (M) Sdn Bhd mengambil masa tujuh tahun membuat kajian secara sainstifik dan akhirnya berjaya menghasilkan benih padi baru dikenali MR220CL1 dan MR220CL2.

Kedua-dua varieti baru itu terbukti mempunyai ketahanan tinggi kerana mempunyai ciri khusus, iaitu tahan kepada racun rumpai dan sekali gus mengurangkan rumput dalam sawah.

Varieti itu juga mampu mengatasi masalah padi angin yang selama ini menjejaskan teruk petani, katanya sambil menambah sifat padi angin adalah biji padi ringan kerana di dalamnya tiada isi dan mudah relai sendiri, terutama apabila ditiup angin

Rang Undang-undang Perbadanan Stadium Malaysia dibentang

2010/07/08
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010 bagi pembentukan badan yang bertanggungjawab membangun dan mengurus stadium, kompleks sukan dan kemudahan sukan di negara ini, dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Fungsi Perbadanan Stadium Malaysia antara lain untuk mempromosikan stadium di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai suatu tempat serbaguna bagi acara sukan, rekreasi, kebudayaan, pendidikan, komersial, hiburan dan acara lain. Perbadanan itu juga mempunyai kuasa untuk menjalankan aktiviti berhubung dengan penyelidikan dan pembangunan aktiviti, perkhidmatan dan perkara lain yang berkaitan dengan sukan dan stadium. Ia juga berkuasa untuk menghubungi pelabur atau pelabur berpotensi, sama ada tempatan atau asing secara langsung atau tidak langsung, bagi menggalakkan pelaburan dalam pembangunan, pengendalian dan pengurusan stadium.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, membentangkan rang undang-undang 39 fasal dan tujuh bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Ia menggantikan Akta Perbadanan Stadium Merdeka 1963 dan membubarkan Perbadanan Stadium Merdeka yang ditubuhkan di bawah akta itu.

Segala kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, obligasi dan kewajipan yang dipunyai Perbadanan Stadium Merdeka hendaklah dipindahkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia.
Perbadanan Stadium Malaysia dianggotai oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang dilantik oleh Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif, lima wakil kerajaan, lima mewakil organisasi sukan yang dilantik Menteri serta lima yang mempunyai pengalaman dalam pembangunan dan pengurusan stadium, kompleks sukan dan kemudahan sukan yang dilantik Menteri.

Perbadanan juga boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau bermanfaat untuk membantunya dalam melaksanakan fungsinya serta boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi anggota sesuatu jawatankuasa itu. -

Bantuan wang kepada nelayan menerusi MyKad mulai 1 Julai

2010/07/08
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mula menggunakan MyKad dalam proses memberi bantuan, subsidi dan insentif kepada kumpulan sasar mereka berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan berkata MyKad berfungsi sebagai rujukan peribadi golongan sasar semasa mereka berurusan dengan agensi kerajaan berkaitan dalam mendapat bantuan tersebut di samping untuk menyaring kelayakan penerima. "Penggunaan MyKad misalnya dapat mengenal pasti nelayan yang memiliki lebih daripada dua vesel di mana pembayaran elaun hanya layak untuk diberi kepada pemilik yang mempunyai satu vesel sahaja. "Ia juga dapat mengenal pasti penerima yang telah meninggal dunia untuk dikeluarkan mereka daripada senarai penerima bantuan," menurut kenyataan itu.

Menerusi penggunaan MyKad, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia juga dapat memperbaiki sistem pembayaran dan mengawal selia penyaluran bantuan dan subsidi sebagai antara usaha "pemutihan'' bagi memastikan nelayan yang layak sahaja menerima bantuan dan subsidi.

Berikutan kenaikan harga diesel dan petrol bersubsidi daripada RM1 seliter kepada RM1.43 seliter, Jemaah Menteri pada 4 Jun 2008 telah memutuskan untuk memberi elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik individu vesel perikanan dan pekerja warga Malaysia yang berkerja di atas vesel berlesen.

Insentif hasil tangkapan ikan pada kadar 10 sen sekilogram turut diberikan kepada pemilik vesel perikanan berlesen. - BERNAMA