Thursday, September 30, 2010

Sabah & Sarawak: Awas ‘raja laut’!

Oleh Kandau Sidi

2010/09/30
MIRI: Awas, ‘raja laut’ akan terperangkap dan berdepan kemungkinan bot karam atau pukat tunda koyak jika terus menceroboh perairan berhampiran kawasan pantai di Sarawak.

Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sudah memasang tukun simen rekaan baru seberat 30 tan setiap satu, yang boleh mengakibatkan bot pukat tunda karam atau pukat mereka tersangkut pada tiang simen yang direka khas bagi menghalang aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan pantai. ‘Raja laut' adalah gelaran yang diberikan kepada nelayan pukat tunda yang sering menceroboh perairan berhampiran kawasan pantai Sarawak selama ini. Projek perintis pemasangan tukun itu dimulakan di utara Sarawak, yang mana baru-baru ini sebanyak 26 tukun simen berkualiti tinggi dibuang di kawasan perairan Pulau Sari dan Punang, dekat daerah Lawas.

Sebelum ini, 27 tukun yang memiliki reka bentuk hampir serupa dibuang berhampiran kawasan sama untuk dijadikan tempat pembaikan ikan, manakala di perairan Miri kawasan perairan Kuala Sibuti dijadikan sebagai lokasi untuk menempatkan tukun dari reka bentuk yang sama.

Sebanyak 18 tukun simen turut dibuang di kawasan Kuala Sibuti itu awal bulan lalu sebagai usaha JPLS meningkatkan pengeluaran sumber ikan di kalangan nelayan tempatan.

Ketua Unit Perlindungan Sumber JPLS, Mohd Saini Suliansa, berkata tukun simen itu mampu menghalang aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda kerana ia berat dan pukat mudah tersangkut pada simen berkenaan jika terdapat nelayan menunda ikan di situ.
Beliau berkata, tukun simen dibuat menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi dan mampu bertahan untuk tempoh lebih 50 tahun.

“Bezanya, dengan tukun yang dibuang sebelum ini ialah ia lebih berat, manakala bahagian luarnya panjang dan direka khas untuk membolehkan pukat yang ditunda kapal tunda tersangkut di kawasan berkenaan. Secara tidak langsung ia juga memudahkan pembiakan ikan di kawasan terbabit,” katanya kepada Berita Harian.

Beberapa tahun lalu, tukun tayar dijadikan tempat pembiakan ikan. Namun, sekarang penggunaan tukun tayar tidak sesuai kerana akan mengakibatkan pencemaran di kawasan tepi pantai apabila tali yang digunakan bagi mengikat tukun itu putus selepas beberapa tahun berada dalam laut.

Mohd Saini berkata, projek pembuangan tukun di Sarawak adalah sebahagian daripada projek rangsangan ekonomi untuk menjana pendapatan nelayan tempatan.
“Kita berharap kawasan tukun berkenaan akan menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan untuk beberapa tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu akan terus membuang lebih banyak tukun seumpamanya di kawasan perairan Sarawak pada masa akan datang.

Selain Sarawak, katanya, Sabah juga berminat membuat tukun serupa sebagai usaha menghalang aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda, sekali gus meningkatkan tangkapan ikan tempatan

Studio khas untuk bakal haji tingkat kecergasan

Oleh Azidan Nahar

2010/10/01
UTM perkenal program penjagaan kesihatan, pemakanan

JOHOR BAHRU: Fakulti Kesihatan Sains dan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan studio khusus buat bakal jemaah haji meningkatkan kecergasan selain program latihan praktikal untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Studio dilengkapi alat senaman treadmill, paparan video tiga dimensi (3D) disertakan perisian mengandungi cara dan doa ketika mengerjakan haji itu boleh mengenal pasti tahap kecergasan individu sebelum mengerjakan haji dan diberikan perundingan cara pemakanan sesuai ketika berada di Tanah Suci. Ketua Jabatannya, Prof Madya Dr Hafidz Omar, berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan kelengkapan studio itu selepas mengerjakan haji pada 2001 dan membangunkan projek berkenaan selama dua tahun bermula 2007 selepas mendapati jemaah memerlukan tahap kecergasan tinggi ketika melakukan ibadah berkenaan. Katanya, secara purata jemaah haji perlu berjalan lebih 30 kilometer (km) untuk melakukan haji secara asas dan jika mengambil kira umrah yang selalunya dilakukan serentak oleh jemaah dari negara ini, ia boleh menjangkau sehingga 90km.

Kursus asas haji lebih tertumpu kepada cara mengerjakan ibadat berkenaan, namun aspek kecergasan tidak diberi perhatian sedangkan ketika berada di sana, kita akan terdedah kepada pelbagai kemungkinan seperti keadaan terlalu sesak serta cuaca panas yang boleh menyebabkan pelbagai risiko.

Menerusi studio ini juga, kita dapat merasai sendiri bagaimana keadaan sebenar di tanah suci dan doa-doa yang harus dibaca ketika mengerjakan haji, katanya pada sidang media memperkenalkan studio simulasi berkenaan, di sini, semalam.

Kelengkapan Studio Simulasi Haji dan Umrah: Kecergasan, Penggunaan Tenaga dan Sistem Pemantauan Nutrisi yang menempatkan sebuah treadmill dan paparan video 3D itu juga dilengkapi alat pendingin hawa dan pemanas yang boleh dilaras mengikut keadaan sebenar di Tanah Suci dengan peserta dikehendaki mengikut arahan pada skrin untuk melakukan ibadat haji.
Dr Hafidz berkata, projek itu dibangunkan oleh kumpulan 12 penyelidik dengan geran sebanyak RM98,000, selain itu pihaknya juga membina perisian berbentuk interaktif.

Mahkamah Admiralti selesaikan pertikaian industri maritim dengan cepat, cekap

2010/09/30
KUALA LUMPUR: Mahkamah Admiralti, mahkamah khas untuk mengendalikan tuntutan berkaitan perkapalan dan maritim yang mula beroperasi esok, dijangka menyelesaikan pertikaian industri maritim secara kompeten.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata mahkamah itu terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini akan beroperasi sebagai pusat sehenti untuk menyediakan kemudahan mendapatkan maklumat mengenai penahanan, pembebasan dan penjualan kapal. Beliau berkata, tempoh penyelesaian bagi tuntutan yang difailkan pada 1 Oktober itu disasarkan dalam sembilan bulan dan tempoh itu setanding dengan Singapura dan Hong Kong manakala semua permohonan yang difailkan berdasarkan kesegeraan akan didengar serta merta dan diselesaikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh difailkan. Mengharapkan kejayaan Mahkamah Admiralti dalam tempoh terdekat, Zaki berkata, mahkamah itu ditubuhkan bertujuan memberikan pilihan kepada pihak-pihak, melalui kebenaran, memastikan semua tuntutan mereka diadili dengan cepat di satu pusat.

"Bagi melancarkan pertumbuhannya, satu jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk mengkaji hala tujunya. Saya percaya lambat laun, mahkamah ini akan mencapai pertumbuhan signifikan dan mencatatkan reputasi bagi kecemerlangan dan integriti," katanya ketika berucap melancarkan Mahkamah Admiralti di Kompleks Mahkamah itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Shariff dan Datuk James Foong.

Zaki berkata, buat permulaan, dua Hakim Mahkamah Tinggi Perdagangan, P Nalini dan Anantham Kasinather akan mendengar kes-kes dan Pendaftar Mahkamah Tinggi akan ditugaskan pada setiap masa, malahan di luar masa perniagaan bagi kes membabitkan kesegeraan.
Beliau menegaskan sejak 2007, industri maritim dan Badan Peguam Malaysia telah mengusahakan penubuhan Mahkamah Admiralti, mahkamah yang dikhaskan untuk mengendalikan bidang kuasa berkaitan penghakiman hal ehwal maritim.

Zaki berkata, sejak sekian lama, tuntutan berkaitan maritim dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi Bahagian Perdagangan dan penubuhan mahkamah khas seumpama ini (Mahkamah Admiralti) adalah langkah pertama ke arah penyelesaian pertikaian maritim secara berkesan dan cepat.

"Dengan peluasan ketara dalam sektor gas dan minyak dan perkapalan, gesaan bagi penubuhan mahkamah khas ini terus meningkat," katanya.

Antara kes yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Admiralti ialah tuntutan berkaitan transaksi perniagaan dan perdagangan antarabangsa, termasuk perjanjian perkapalan, import dan eksport, pengangkutan barangan mengikut jalan laut, pembinaan, rekaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal. -

Wednesday, September 22, 2010

DPIM cadang kerajaan wujudkan badan audit halal

22/09/2010 2:34pm


BANGKOK 22 Sept. - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menyusun semula sistem pengesahan halal termasuk penubuhan Badan Audit Halal Profesional.

Timbalan Presiden DPIM, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kertas kerja mengenainya sudah disediakan dan sedang ditambah baik menerusi dialog dan input daripada pakar dalam bidang halal sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Menerusi badan audit halal profesional ini yang diperakui oleh kerajaan dan industri, syarikat atau pengusaha kilang pemprosesan makanan yang mahu mendapatkan sijil halal boleh mendapatkan khidmat ahli badan itu untuk menjalankan audit agar pengeluaran mereka mematuhi status halal sepenuhnya.

Menurutnya, penubuhannya tidak membebankan kerajaan atau pengguna memandangkan ia merupakan inisiatif swasta.

"Walaupun cadangan DPIM ini besar, namun ia bukan untuk menyusahkan kerajaan khususnya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Sebaliknya, jika ia dilaksanakan, memudahkan pemantauan kerana syarikat pengeluaran makanan sendiri yang bertanggungjawab mengambil juruaudit untuk mengaudit proses pengeluaran produk halal,” katanya.

Muhammad Ali berkata, yang lebih penting, badan audit halal itu diperakui oleh kerajaan serta industri.

"Inisiatif ini perlu segera dilaksanakan bagi memastikan kelebihan Malaysia dalam membangunkan industri halal tidak dipintas oleh negara lain, termasuk negara bukan Islam,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan tiga hari ke Thailand, malam tadi.

Muhammad Ali berkata, memandangkan Malaysia memulakan industri makanan halal selain meneraju sistem kewangan Islam, negara perlu bertindak cepat supaya negara luar terutama negara bukan Islam, memintas dan menguasai kelebihan Malaysia bidang halal.

Muhammad Ali yang juga ahli panel Majlis Perundingan Ekonomi Islam negara berkata, negara bukan Islam kini semakin cepat dan pesat membangunkan teknologi halal termasuk menubuhkan Pusat Sains Halal di negara masing-masing untuk mengambil kesempatan, khususnya terhadap potensi besar industri makanan halal dunia.

"Jepun sedang dalam proses penubuhan pusat itu, dan saya difahamkan Vietnam dan China turut berminat menubuhkan pusat yang sama,” katanya.

Selain penubuhan badan audit halal, DPIM akan memulakan inisiatif untuk menjalin usaha sama dengan univeristi yang terlibat dalam kajian, khususnya makanan, bagi menubuhkan pusat sains halal yang berperanan sebagai pusat rujukan bagi pengesahan produk halal.

Ia juga bagi melahirkan golongan profesional yang menawarkan khidmat pengauditan halal, katanya. - Bernama

Thursday, September 9, 2010

Maidam akan taja doktor wanita jadi pakar sakit puan

09/09/2010 4:20pm


KUALA TERENGGANU 9 Sept — Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menaja doktor-doktor wanita sedia ada bagi melanjutkan pengajian di seberang laut bagi mengatasi masalah kekurangan pakar sakit puan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata pihaknya kini sedang berbincang secara prinsip dengan hospital di sini bagi merealisasikan rancangan itu.

"Setakat ini, pihak hospital masih belum dapat memberikan senarai doktor-doktor mereka untuk dilatih sebagai pakar sakit puan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Wan Harujan berkata mengikut maklumat yang diberikan kepada Maidam, hospital di Terengganu sekarang ini masih kekurangan pakar sakit puan wanita.

Beliau berkata Maidam akan menggunakan wang zakat untuk melatih doktor-doktor berkenaan menjadi doktor pakar sakit puan dan projek perintis akan dilaksanakan mulai tahun depan. — Bernama

Wednesday, September 1, 2010

Skim Mikrokredit Selangor Dilancar Hari Ini

SHAH ALAM 2 Sept 2010 - Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) yang dilancarkan oleh Menteri Besar hari ini akan memberi manfaat kepada kumpulan pertama seramai 50 penerima pinjaman yang akan menerima pembiayaan modal perniagaan sebanyak RM3,000 dengan tempoh bayaran maksima selama 12 bulan.

Skimsel yang dikendalikan oleh Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor telah disempurnakan penubuhannya pada 8 Julai lalu.

Antara lain skim ini bertujuan untuk membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan.

Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk tujuan membiayai skim ini. RM50 juta adalah untuk masyarakat luar bandar dan baki RM20 juta untuk masyarakat bandar.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali dalam satu kenyataan media berkata, di peringkat awalnya skim ini akan beroperasi di kawasan Sabak Bernam.

"Menjelang akhir tahun 2010, skim ini akan diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Bagi masyarakat bandar, jadual perlaksanaan skim yang sama sedang disiapkan oleh pasukan pengendali yang diterajui oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail," kata beliau.

Skimsel tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah.

Menurut Dr Hassan pengalaman mengendalikan skim yang serupa mendapati bahawa kesepakatan kumpulan-kumpulan kecil yang dimestikan bermesyuarat setiap minggu telah menyaksikan pembayaran balik mencecah seratus peratus.

Di pihak kerajaan negeri majlis pelancaran ini menjadi satu lagi mercu tanda komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin secara terus.

Dr Hassan berkata majlis pelancaran ini menjadi bukti betapa kerajaan negeri begitu komited untuk mengagih-agihkan kekayaan negeri Selangor kepada semua golongan rakyat terutamanya golongan miskin.

"Merekalah yang menjadi kumpulan tumpuan kepada usaha pembangunan yang kini rancak dijalankan. Prinsip ini sesuai dengan falsafah pembangunan kerajaan negeri iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor," kata kenyataan itu lagi.

Majlis pelancaran Skim Mikrokredit Selangor akan diadakan di Masjid Makrufiah, Parit Baru, Sabak Bernam.

Seramai 1,500 tetamu dijangka hadir termasuk ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah, ahli Exco, ADUN dan Ahli Parlimen, JKKK, Nazir serta Pengerusi Masjid dan Surau serta pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi ucapan amanat pelancaran diikuti dengan penyampaian Skimsel.

Selepas itu satu taklimat khas Skimsel akan diadakan diikuti dengan majlis tahlil dan doa selamat serta ceramah motivasi Ramadan dan majlis berbuka puasa