Wednesday, February 3, 2010

Melaka: Dataran 1Malaysia (3/2/10)

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Dataran 1Malaysia di Pantai Klebang dijangka berjaya meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.


Peniaga raih manfaat pembangunan Pantai Klebang manfaatkan penduduk

MELAKA: Tumpuan serius kerajaan Melaka dalam membangunkan Pantai Klebang menerusi pembukaan Dataran 1Malaysia, dekat sini, terutama dalam bidang pelancongan membuktikan industri itu mampu memberi pulangan lumayan kepada pelbagai pihak.

Bukan saja pengusaha hotel, syarikat bas, pengusaha pasar raya dan pengusaha pelancongan meraih keuntungan, malah kini usahawan kecil, peniaga gerai dan penduduk kampung turut menikmati pulangan daripada industri berkenaan.



Dataran 1Malaysia yang letaknya kira-kira 15 kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah ini, dibangunkan sebagai padang rekreasi awam terbesar di negara ini. Kawasan seluas 20.23 hektar itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk 12 padang bola sepak bagi kemudahan orang ramai.

Kewujudan kemudahan baru ini bakal melengkapkan lagi infrastruktur dirancang di kawasan berkenaan yang turut merangkumi pembinaan sebuah hospital pakar, pusat beli-belah, marina, lot komersial dan kiosk jualan produk pelancongan.

Kawasan ini yang dulunya terkenal sebagai tempat pengeluaran cencaluk serta belacan di Melaka, kini diharap akan menjadi satu lagi mercu tanda pelancongan negeri Hang Tuah, bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Majlis Perhimpunan 1Malaysia Bersama Rakyat pada malam ini.


Mohd Ali (tiga dari kanan) menyukat keluasan kawasan Dataran 1Malaysia.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditemui berkata, idea membina kawasan rekreasi terbuka seperti itu timbul selepas melihat taman rekreasi awam menyediakan kemudahan dengan saiz sebesar 10 padang bola sepak di Manchester ketika berkunjung ke England sebelum ini.

"Harapan kita apabila projek ini siap, ia bakal menjadi satu lagi mercu tanda pelancongan di Melaka. Sebagai sebuah negeri pelancongan, kerajaan perlu sentiasa mencari idea baru bagi mewujudkan produk baru dan Dataran 1Malaysia adalah antara terbaik," katanya.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu baru-baru ini menerima pelbagai maklum balas positif daripada peniaga di situ.

Seorang peniaga, Jameah Hamid, 69, ketika ditemui berkata, sepanjang beroperasi di Dataran 1Malaysia sejak beberapa bulan lalu, beliau memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM500 sehari dengan menjual makanan dan minuman kepada pengunjung.

Katanya, sebaik saja membuka gerai pada awal pagi, boleh dikatakan semua makanan yang dijual mendapat sambutan ramai.

"Selain penduduk tempatan, ramai pelancong asing datang secara berkumpulan mencuba makanan yang dijual di gerai saya.

"Dengan pembukaan kawasan ini selain kehadiran pelancong yang semakin bertambah, rezeki peniaga kecil seperti kami juga agak baik berbanding 10 tahun lalu. Saya berharap usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami tetap diteruskan menerusi projek seperti ini," katanya.

Peniaga buah, Hang Huat, 70, pula mengakui pembukaan Dataran 1Malaysia itu bakal memberikan pulangan lumayan kepada perniagaannya selepas mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM50 sehari sejak beberapa bulan lalu.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membuka kawasan ini. Dataran ini banyak memberi manfaat kepada penduduk Melaka terutama peniaga kecil.

"Saya juga berharap promosi di kawasan ini dapat digandakan lagi untuk memastikan semua pihak meraih keuntungan kesan kehadiran pelancong yang semakin bertambah," katanya.

No comments:

Post a Comment