Friday, February 5, 2010

Karnival 'Jom Masuk U' di Stadium Nilai

NILAI 5 Feb 2010 - Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Pengajian Tinggi 2010 'Jom Masuk U' yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Nilai di sini bermula esok hingga 7 Februari ini.

Karnival ini menempatkan pelbagai gerai pameran institusi pendidikan di negara ini dan produk jualan usahawan tempatan.

Walaupun belum bermula secara rasmi namun tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai sudah mula mengunjungi stadium tersebut.

Salah seorang pengunjung, Ummu Solehah, 22, berkata, karnival ini memberi peluang kepada pelajar lepasan persekolahan untuk mendapatkan maklumat mengenai hala tuju dan institusi pendidikan di negara ini.

"Saya melihat banyak maklumat boleh diperolehi dari karnival ini. Ini memberi peluang pelajar dan ibu bapa dalam merancang pendidikan pada masa hadapan.

"Di samping itu, karnival ini juga memberi peluang kepada pelajar yang mengalami masalah kewangan dalam menyambung pembelajaran untuk memperoleh tajaan dan pinjaman daripada pihak berkenaan," ujarnya.

Mohd. Shahril Lokman, 24, berkata, di samping melawat tapak karnival, pengunjung boleh singgah ke gerai jualan yang menawarkan barangan menarik.

"Selain itu pengunjung boleh singgah ke gerai-gerai jualan yang menawarkan barangan yang murah.

"Terdapat juga produk daripada usahawan tempatan yang merangkumi produk kesihatan, keperluan harian dan makanan," ujarnya merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Selain itu, Rukiah Ismail, 24, berkata karnival ini memberi ruang kepada kakitangan institusi pengajian tinggi untuk mendekati pelajar di negeri ini.

"Kakitangan universiti dapat bersama memberi penjelasan yang betul kepada pelajar dan ibu bapa mengenai kos yang ditawarkan mereka," ujarnya.

Karnival 'Jom Masuk U' dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Persada, Johor Bahru pada 9 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment