Monday, June 28, 2010

Pengairan padi dipermoden

Oleh Minarni Mat Saad

2010/06/29
MENAIK taraf sistem pengairan adalah salah satu program permodenan pengairan padi yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk meningkatkan kecekapan sistem pengairan ke arah menyediakan bekalan air kepada petani mengikut masa, tempat dan kuantiti diperlukan.

Sehubungan itu, beberapa projek menaik taraf sistem pengairan dilaksanakan di beberapa kawasan di seluruh negara bagi membolehkan petani mendapat bekalan air mencukupi ke sawah masing-masing seterusnya dapat meningkatkan hasil tani. Projek menaik taraf sistem pengairan di Skim Pengairan Sungai Manik, Perak yang membabitkan peruntukan RM68 juta adalah antara program permodenan pengairan sedang giat yang dilaksanakan. Kawasan Skim Pengairan Sungai Manik yang berkeluasan 6,318 hektar adalah satu daripada lapan jelapang padi negara. Skim pengairan ini mempunyai kemudahan sistem pengairan terdiri daripada 13.36km tali air utama, 51.23km tali air kedua dan 186.52km tali air ketiga.

Sumber air utama untuk kawasan pengairan ini adalah dari Sungai Batang Padang yang disalurkan melalui Ampang Jajar Sungai Manik dan sebuah rumah pam di Kampung Chikus.

Sebelum pelaksanaan projek menaik taraf ini, petani menghadapi masalah kehilangan air melalui resapan di sepanjang tali air tanah dan juga mendapan pasir yang berpunca daripada hakisan sepanjang tebing tali air.

Bagi mengatasi masalah itu, projek menaik taraf tali air tanah kepada tali air konkrit dilaksanakan dan projek ini juga meliputi kerja menaik taraf struktur kawalan pengairan dan juga jalan ladang bagi menyediakan kemudahan sistem pengairan yang lebih berkesan.
Projek itu mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang turun padang untuk melihat sendiri kemajuan projek berkenaan sambil menghadiri majlis perjumpaan bersama penduduk Skim Pengairan Sungai Manik, Daerah Hilir Perak, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kawasan Pasir Salak, Dato Tajuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Dato Baharum Jani; Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Dato Shaarani Muhamad dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Dato Mohd Azhari Ghazalli.
Pada majlis itu Noh turut menerima memorandum masalah dihadapi pesawah jelapang padi Sungai Manik daripada wakil Ketua-Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.

Noh berkata, kerajaan menerusi perunding dan kontraktor yang dilantik akan berusaha melaksanakan projek naik taraf infrastruktur pengairan ini dengan sebaiknya demi memastikan petani di kawasan itu mendapat faedah apabila projek itu siap.

Memang tidak dapat dinafikan dalam pelaksanaan sesuatu projek ada isu-isu yang timbul dan semua yang terbabit sama ada di pihak kerajaan, perunding, kontraktor dan juga petani sendiri harus bekerjasama dan berbincang supaya isu berbangkit dapat ditangani dengan baik, katanya.

Beliau berkata, kajian untuk menaik taraf skim ini dimulakan pada 2004 lagi oleh juruperunding dan pelaksanaan projek pembinaannya dimulakan pada 2008 menerusi lima pakej membabitkan kos RM68 juta.

Saya difahamkan bahawa Skim Pengairan Sungai Manik ini meliputi kawasan seluas lebih daripada 6,300 hektar meliputi kawasan Sungai Manik dan Labu Kubung. Di skim ini sudah pun ada tali air sepanjang lebih daripada 250km meliputi tali air utama, kedua dan ketiga, katanya.

Noh berkata, walaupun projek menaik taraf ini mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan, beliau berharap ia dapat memberi faedah kepada lebih 2,100 petani di sini yang ketika ini mendapat hasil purata di sekitar 3.5 tan sehektar dan disasarkan untuk meningkat kepada 6.5 tan sehektar.

Bagaimanapun, dengan adanya kemudahan infrastruktur yang dinaiktaraf ini saja bukanlah dapat menjamin peningkatan hasil seperti yang disasarkan, tetapi ia perlu disertakan dengan usaha daripada petani dengan mengamalkan amalan pengurusan air dan pertanian yang terbaik, katanya.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan mahu melihat pembabitan petani dalam menguruskan bekalan air ke sawah secara terbaik dengan menggalakkan petani menubuhkan dan mengaktifkan Kumpulan Pengguna Air (KPA).

Dengan tertubuh dan aktifnya KPA ini, urusan bekalan air ke sawah akan lebih teratur dan menjimatkan dan petani boleh melaksanakan aktiviti penanaman secara teratur, katanya.

Sehubungan itu, Noh mengharapkan semua pihak yang terbabit dengan projek ini, terutama kontraktor, perunding dan penduduk dan petani memberikan kerjasama, sokongan padu dan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan projek naik taraf ini.

Dengan terbina dan siapnya projek ini nanti disertakan dengan kesungguhan untuk mengusahakan sawah insya-Allah kita akan mendapat pulangan yang lebih baik menerusi peningkatan hasil padi, katanya.

Noh menjelaskan, kerajaan memberi tumpuan pada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan juga hasil pertanian lain dan sektor ini diberikan peruntukan yang lebih besar berbanding masa lalu.

Peruntukan yang lebih besar ini membuka ruang dan juga peluang kepada sektor ini untuk menjadi satu sektor yang moden dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjadi satu kaedah untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.

Kerajaan amat komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian kerana sektor ini mempunyai masa depan yang cerah, walaupun berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran, katanya.

Jelas Noh, MOA memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan manfaat daripada peningkatan ekonomi negara ini akan dirasai bersama menerusi peningkatan kualiti hidup dengan adanya pelbagai peluang untuk meningkatkan pendapatan.

Secara amnya, ujar beliau, negara masih lagi mengimport bahan makanan dan MOA berazam dan beriltizam untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan agro-makanan yang sekarang ini hampir berjumlah RM1.2 bilion.

Katanya, salah satu program untuk mencapai matlamat mengurangkan defisit dagangan ini adalah menerusi program menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi.

Melalui langkah ini kecekapan bekalan pengairan akan meningkat dan keadaan ini jika disertakan dengan amalan pertanian yang baik oleh petani akan memberi ruang kepada peningkatan produktiviti dan penghasilan padi dan juga pendapatan petani dan peladang, katanya.

UiTM tawar peluang pengajian percuma kepada golongan pekerja

28/06/2010 5:51pm


SHAH ALAM 28 Jun - Golongan pekerja yang berminat untuk

mendapatkan pendidikan tinggi namun tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.


"Tawaran ini merupakan satu tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program 'Mengubah Destini Anak Bangsa'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Penuntut Baru UiTM, di sini hari ini.


Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.

Mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum

diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai, kata beliau. - Bernama

Thursday, June 24, 2010

Benarkan pelajar buat pembayaran berjadual

KUALA LUMPUR 24 Jun 2010 - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) digesa membenarkan seseorang pelajar baru yang tidak berkemampuan melakukan pembayaran yuran pengajian secara berperingkat-peringkat atau berjadual.

Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Suhaimi Shahadan berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan memberikan sedikit kelonggaran mengikut kriteria dalam soal pembayaran yuran berkenaan apabila mereka melakukan pendaftaran masuk ke institusi-institusi pengajian tersebut.

"Saya menggesa IPTA dan IPTS bersikap terbuka serta menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan bersedia memberikan kelonggaran seumpama itu terhadap pelajar-pelajar ketika mereka mendaftar bagi memulakan pengajian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam yang menyatakan pelajar baru universiti dan politeknik yang kurang berkemampuan boleh menanggungkan pembayaran yuran pengajian bagi sesi kemasukan yang bermula pada 3 dan 4 Julai ini.

Suhaimi yang juga Exco Pemuda UMNO turut menyarankan agar semua IPTA dan IPTS bersikap proaktif terhadap saranan Mohamed Khaled bagi membolehkan pelajar miskin dan ibu bapa yang kurang berkemampuan boleh menghantar anak ke IPT tanpa menjadikan masalah kewangan sebagai satu alasan.

"Bagi KPTM, saya telah mengarahkan Rektor untuk mewujudkan unit khas 'KPTM Prihatin' agar dapat menangani dan memberi perhatian terhadap kes-kes khas ini.

''Di KPTM sendiri telah membenarkan pelajar memulakan pembelajaran kerana kes-kes seperti ini kurang daripada 10 peratus,'' katanya.

Selain itu, dalam kenyataannya, Suhaimi juga menggesa, agensi-agensi pembiayaan pinjaman berusaha mempercepatkan proses untuk menyelesaikan tuntutan pinjaman pelajar di peringkat pengajian tinggi .

''Birokrasi dan proses kelulusan yang lambat hanya akan membantutkan urusan pentadbiran dan menyusahkan pelajar,'' kata beliau

Semua sekolah Selangor bakal laksana e-Disiplin

Oleh Alzahrin Alias

2010/06/25
RAWANG: Perisian elektronik e-Disiplin bakal diperkenalkan di sekolah seluruh Selangor, bermula di daerah Gombak awal tahun depan bagi menangani masalah disiplin pelajar, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, perisian e-Disiplin dilihat mampu menangani masalah gejala sosial dan disiplin pelajar yang dibangunkan kementerian dan Jabatan Pelajaran Selangor, dan kini diuji di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing (SMK Seri Garing), di sini. Katanya, perisian e-Disiplin adalah cara yang terbaik untuk guru menangani masalah disiplin pelajar dengan hanya perlu memasukkan nama dan jenis kesalahan yang dilakukan. Perisian e-Disiplin akan memaparkan tindakan yang perlu diambil terhadap pelajar dan langkah mendisiplinkan pelajar secara berperingkat yang dipantau terus oleh kementerian dan jabatan pelajaran untuk memastikan masalah disiplin dapat dikurangkan.

Justeru, pihak sekolah perlu membuka pintu untuk berinteraksi dengan ibu bapa dan komuniti setempat dalam membantu menangani gejala salah laku pelajar.

Jalinan perlu ada antara pihak sekolah dengan komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pihak berkuasa agar masalah salah laku pelajar sekolah dapat diatasi, katanya ketika merasmikan Program Sekolahku Komunitiku di SMK Seri Garing, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, Amran Maskor; Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak; Pengetua SMK Seri Garing, Azizul Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Chin Wan Cheong.
Alimuddin berkata, beliau sendiri sudah turun padang selepas membaca laporan mengenai masalah disiplin dan hasil taklimat oleh pengetua serta Yang Dipertua PIBG, didapati ada antara laporan yang tidak benar.

Laporan boleh membuatkan moral guru serta pelajar jatuh dan ada di antara pelajar yang tertekan, katanya.

Tuesday, June 22, 2010

Mohon pasport secara talian bakal diperkenal

2010/06/23
PUTRAJAYA: Dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu, Kementerian Dalam Negeri bercadang memperkenalkan sistem permohonan pasport menerusi talian dikenali 'MyImms'.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata menerusi sistem itu orang ramai boleh memohon menerusi talian dan pemohon kemudian diberikan tarikh untuk datang ke Jabatan Imigresen bagi pengesahan cap jari sebelum penyerahan pasport. "Bagaimanapun perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan dan belum ada tarikh yang tetap bila ia akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau berkata ini kerana kerajaan harus memastikan beberapa aspek termasuk keselamatan sebelum sistem tersebut dilaksanakan bagi mengelak penyalahgunaan.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan pasport di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahmood berkata apabila dilaksanakan kelak semua urusan akan dijalankan oleh petugas JPN.

Oleh itu mereka akan diberi latihan mengenai prosedur selain sistem pengkomputeran antara JPN dan Imigresen digabungkan bagi memudahkan proses, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu masih pada peringkat perbincangan.
Semalam, Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Lee Chee Leong dilapor berkata kaunter di JPN akan dijadikan Kaunter Gunasama bagi membolehkan orang ramai membuat permohonan pasport dengan Jabatan Imigresen.

Projek perintis kaunter itu dijangka dilaksana di pejabat cawangan JPN di Puchong, Kepong dan Gombak. - BERNAMA

Johor: Lapan lagi balai polis bergerak di lokasi panas

2010/06/23
JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima lapan lagi unit balai polis bergerak bernilai RM1,784,000, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan itu kini 12 unit untuk ditempatkan di beberapa lokasi panas sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokthar Mohd Shariff, berkata tiga balai polis bergerak yang diterima adalah jenis bas mini Nissan berharga RM343,000 setiap satu manakala lima lagi adalah jenis van Toyota Hiace bernilai RM151,000 seunit. Katanya, balai polis bergerak jenis bas mini akan dikendalikan seorang pegawai dan sembilan anggota manakala jenis van dikendalikan seorang pegawai dan tiga anggota. Beliau berkata, dengan setiap kenderaan diubah suai untuk memuatkan kelengkapan peralatan seperti set jana kuasa, komputer riba, mesin cetak dan internet jalur lebar, ia memudahkan orang ramai membuat laporan polis selain menerima maklumat dengan lebih pantas.

"Penambahan balai polis bergerak ini akan menambah lagi kehadiran kami sekali gus meningkatkan keyakinan dan keselesaan masyarakat terhadap polis dalam memastikan keselamatan mereka terjamin khususnya di kawasan tumpuan ramai," katanya pada Majlis Penyerahan Balai Polis Bergerak itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, kelmarin.

Kenderaan itu dijangka ditempatkan di kawasan panas atau kerap berlaku jenayah iaitu pusat bandar Muar, Taman Setia Indah, Taman Ungku Tun Aminah, pusat bandar Kluang, pusat bandar Batu Pahat, Kulaijaya, Masai dan pusat bandar Johor Bahru.

Sebelum ini, polis Johor menerima lima unit balai polis bergerak jenis van dan sudah digerakkan di beberapa kawasan dikenal pasti bagi kemudahan orang ramai, termasuk Pelangi Indah, Tampoi, Bukit Indah dan Johor Jaya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar turut mengumumkan sejak Januari hingga 20 Jun tahun ini, kadar jenayah di negeri ini menurun sebanyak 21.05 peratus iaitu kepada 9,965 kes berbanding 12,622 kes dalam tempoh sama tahun lalu

Monday, June 21, 2010

Kelantan akan perkenal produk pelancongan agama

2010/06/22
KOTA BHARU: Kelantan akan perkenalkan pelancongan agama, satu produk pelancongan yang berasaskan ilmu keagamaan melalui sistem tradisional pengajian Islam atau lebih dikenali sebagai "pengajian pondok".

Cadangan bagi Kelantan mempunyai produk pelancongan baru sebagai daya penarik kepada industri itu di negeri berkenaan dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berikutan cadangan itu, pihaknya telah mencari tapak yang sesuai untuk tujuan itu. "Kami bersetuju untuk membina sebuah apartment di Kandis, Bachok. Projek pelancongan agama itu akan dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhamad Mustafa (PAS-Demit) mengenai langkah kerajaan dalam menjadikan negeri itu sebagai warisan ilmiah.

Takiyuddin berkata, melalui pelancongan agama, pelancong sama ada dari dalam dan luar negara akan disediakan tempat penginapan bagi mengikuti kursus agama yang ditawarkan dalam pakej pelancongan itu.

"Pakej ilmu agama akan ditawarkan kepada pelancong yang berminat mungkin dua atau tiga hari dalam mengenali program ilmu agama di Kelantan," katanya.
Menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) mengenai warisan seni ukir kayu, Takiyuddin berkata kerajaan negeri telah mewartakan seni ukir kayu Kelantan sebagai warisan kebangsaan.

"Kita juga akan bawa seni warisan ukir kayu itu di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Kelak permohonan pasport boleh dibuat di kaunter JPN

22/06/2010 1:24pm


PUTRAJAYA 22 Jun – Kaunter di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lama lagi akan dijadikan sebagai Kaunter Guna Sama bagi membolehkan orang ramai membuat permohonan pasport dengan Jabatan Imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, projek perintis kaunter itu akan dilakukan di pejabat cawangan JPN di Puchong, Kepong dan Gombak.

Katanya, langkah itu merupakan antara usaha penambahbaikan proses dan prosedur kerja agensi dan jabatan dalam kementerian yang sedang dilakukan bagi memastikan mutu perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Di samping itu, ia bagi mengelak berlakunya penyelewengan dan kelemahan tertentu,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Katanya, usaha sedang diambil untuk menambah sistem online bagi semua jabatan dan agensi kementerian.

"Dalam hal ini, jabatan dan agensi berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan sistem sedia ada ditambah baik dan dipertingkatkan,” katanya. – Bernama

Kerajaan sasar 1,000 pengeksport Bumiputera 2015

2010/06/22
KERAJAAN menerusi Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Dalam Sektor Pembuatan, menyasarkan meningkatkan jumlah pengeksport Bumiputera dalam sektor itu kepada 1,000 menjelang 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata antara pasaran global yang sudah dikenal pasti berpotensi bagi pengeksport Bumiputera ialah produk dan perkhidmatan halal. Justeru, beliau berkata, program pembangunan usahawan dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal akan ditingkatkan menerusi pendekatan yang menyeluruh susulan kemasukan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di bawah MITI. “Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Dalam Sektor Pembuatan yang akan dilancarkan tahun ini akan menyediakan hala tuju strategik kepada usahawan untuk merebut peluang yang ada dalam pasaran domestik dan global, katanya dalam Laporan Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2009 yang dilancarkan semalam.

Mustapa berkata, pelan induk itu juga menyasar peningkatan jumlah pelaburan syarikat Bumiputera kepada RM25 bilion, mengintegrasikan 3,000 syarikat Bumiputera ke dalam rantaian nilai bekalan, dan menyasar 1,500 syarikat Bumiputera yang menggunakan teknologi proses pengeluaran dan pemasaran produk.

Kerajaan, katanya akan meneruskan program kerjasama sedia ada dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional.

“Bumiputera akan meraih manfaat daripada program ini menerusi program kerjasama strategik,” katanya

Sunday, June 20, 2010

Baling, Sik pusat biak benih udang galah

2010/06/21
BALING: Jabatan Perikanan bercadang menjadikan daerah ini dan Sik sebagai pusat pembiakan benih udang galah bagi menampung keperluan industri akuakultur di negara ini, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata selain pusat pembiakan benih, dua daerah itu juga sesuai untuk kegiatan penternakan udang galah kerana ia mempunyai air sungai di kawasan pedalaman yang belum tercemar. Katanya, untuk tujuan itu Jabatan Perikanan akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenalpasti kawasan sesuai bagi aktiviti itu. Beliau berkata, sebagai permulaan, jabatan itu akan melepaskan benih udang galah di beberapa sungai di dua daerah itu untuk melihat kesesuaiannya bagi membolehkan pembiakan hidupan itu g kini semakin berkurangan.

“Jika aktiviti penternakan dan pembenihan udang galah dilaksanakan ia mampu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat kerana udang galah mendapat pasaran tinggi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penuaian dan Memperkasa Industri Ternakan Udang Galah di Kampung Luar, Siong, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan, Ahmad Sabki Mahmud dan Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.

Mohd Johari berkata, dua daerah itu berpotensi dijadikan kawasan pengeluaran udang galah kerana mempunyai sumber bekalan air bersih belum tercemar.
Katanya, dua syarikat iaitu Era Bakti Akuakultur Sdn Bhd dan Ventures Aquaculture Sdn Bhd menguruskan projek ternakan udang galah di dua kampung di daerah itu setakat ini dan ia berpotensi dikembangkan.

Setakat ini, tanah terbiar seluas 60 hektar di Kampung Luar, di sini, dan Kampung Kerawai, Sik, sudah dimajukan dengan projek ternakan udang galah membabitkan 63 peserta daripada penduduk kampung.

Beliau berkata, projek dilaksanakan sejak dua tahun lalu itu mampu menambah pendapatan peserta dan secara keseluruhan mereka menerima dividen terkumpul lebih RM26,000 sejak dimulakan.

Naik taraf Jalan Kuantan-Segamat jadi keutamaan

2010/06/21
ROMPIN: Usaha menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat akan diutamakan Kementerian Kerjaraya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) berikutan kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di jalan itu.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata langkah itu perlu disegerakan bagi mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku di jalan yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak yang dibina sekitar 70-an sepanjang 147 kilometer itu. “Kementerian sudah membuat kajian mengenai usaha menaik taraf jalan berkenaan dan memang ada keperluan dipertingkatkan kerana statistik pengguna meningkat sekarang berbanding ketika mula dibuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rompin di sini, semalam. Katanya, cadangan menaik taraf jalan itu dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi.

Pada 17 Jun lalu, lima sekeluarga terbunuh dan tiga lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 87 jalan berkenaan.

Seminggu sebelum itu, enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 78.

Selain itu Shaziman berkata, pihaknya juga meneliti keperluan membina Jalan Kuantan-Bahau-Serting di dalam RMKe-10 bagi memberi pilihan kepada pengguna, terutama di Rompin dan Pekan untuk ke Bahau, Serting dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Mengulas perkembangan projek LPT fasa kedua (LPT2), beliau berkata, projek itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan beberapa masalah seperti kelemahan kontraktor dan kenaikan harga barang binaan yang memperlahankan perjalanan projek.

Mengikut jadual asal, LPT2 yang bernilai RM3 bilion sepanjang 190 km dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh, Terengganu, siap tahun depan, namun disebabkan masalah berkenaan ia dijangka siap pada 2012. – BERNAMA

Pasukan khas pantau projek sakit

KOTA BHARU 20 Jun 2010 - Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau perkembangan semasa beberapa projek sakit di negeri ini yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek sakit tersebut adalah pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jalan Simpang Pulai - Loging - Gua Musang, Jalan Jeli - Jelawang, Jalan Pasir Puteh - Tok Bali, dan Jabatan Sultan Yahya Petra.

Jelas beliau, projek-projek terbabit perlu disiapkan dengan segera untuk memastikan pembangunan baru yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tidak terganggu.

"Terdapat lima atau enam projek sakit di negeri ini yang perlu disiapkan secepat mungkin agar boleh digunakan dan dimanfaatkan rakyat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Jabatan Kesihatan Kelantan di sini pagi ini.

Thursday, June 17, 2010

Keluarga miskin tegar diberi saham ASW

Sebahagian penerima bantuan sewa rumah keluarga miskin tegar di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 17 Jun - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mendaftarkan semua ketua isi rumah yang layak untuk diberi unit Amanah Saham Wawasan (ASW) bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.

Katanya, sebahagian daripada mereka telah pun didaftarkan dengan di negeri ini sahaja, seramai 241 daripada 329 ketua isi rumah yang dikenal pasti layak telah pun menerimanya.

"Saya berharap pencapaian ini dapat ditingkatkan kerana faedah yang diperoleh daripada pelaburan berkenaan akan menyumbang kepada pendapatan keluarga," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah untuk Golongan Miskin Tegar Bandar, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, kementerian berkenaan memperuntukkan RM260,400 berupa bantuan sewa rumah selama setahun kepada 175 keluarga miskin tegar di sekitar Johor Bahru.

Para penerima terdiri daripada penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Raja Nong Chik berkata, pada tahun ini program pembasmian kemiskinan bandar akan terus dimantapkan lagi dengan program-program khusus bagi memastikan matlamat kemiskinan tegar sifar dapat dicapai.

Beliau berkata, pihaknya bersedia membantu golongan miskin yang berkelayakan mendapatkan peralatan perniagaan bagi membolehkan mereka berusaha menjana pendapatan sekali gus mengubah kehidupan keluarga.

"Walaupun program pembasmian kemiskinan bandar lebih bertumpu kepada memberi bantuan berupa kemahiran bagi memudahkan golongan sasar mendapatkan pekerjaan tetapi pihak kementerian akan tetap menyalurkan bantuan sewa rumah kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan PBT yang berkaitan bagi memastikan program pembasmian kemiskinan bandar yang dilaksanakan mencapai sasaran dan berjalan dengan sempurna.

Katanya, semua PBT yang terlibat memberikan kerjasama dan sokongan yang positif bagi memastikan sasaran kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini dapat dicapai sepenuhnya.

"Mengikut rekod kemiskinan bandar daftar e-Kasih, hingga kini terdapat 62 keluarga miskin tegar dan 812 keluarga miskin di Johor.

"Saya ingin menyarankan agar PBT mengemukakan kepada pihak kementerian cadangan program yang dapat dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga miskin ini, sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya

Skuad jalur lebar bantu pelanggan

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my



Rais Yatim memegang Ikon BB selepas pelancaran Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Nasional semalam. Turut hadir (dari kiri) Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli serta Maglin Dennis D'Cruz dan Joseph Salang Gandum. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 17 Jun - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan skuad jalur lebar bagi membantu pengguna menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan itu di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, anggota skuad tersebut terdiri daripada pakar-pakar teknologi maklumat (IT) dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco).

Katanya, skuad yang dipantau sepenuhnya oleh kementerian itu akan bertindak memberi perkhidmatan bantuan kepada semua pelanggan jalur lebar menerusi aduan yang diterima oleh SKMM, TM atau mana-mana syarikat telco.

''Skuad kita menyeluruh. Maka, jika masalah yang dihadapi oleh pelanggan menjurus kepada TM kita akan hantar skuad TM yang terdekat untuk menanganinya.

''Misi kita adalah untuk memuaskan hati pengguna, justeru maklum balas pengguna amat diharapkan tidak kisah jika ia berbentuk aduan atau kritikan. Dengan langkah itu mutu kualiti penggunaan jalur lebar dapat ditingkatkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program kesedaran dan promosi jalur lebar nasional di sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua Timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rais berkata, dalam usaha kementerian memastikan talian perkhidmatan jalur lebar sedia ada ditingkatkan kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), SKMM menerusi skuad itu akan membuat pemasangan pusat akses talian terutama di kawasan pinggir dan luar bandar.

Jelasnya, pusat akses itu akan dipasang di premis tertentu seperti sekolah bagi membantu pengguna jalur lebar di sekitar kawasan itu menikmati talian Internet dengan kadar kelajuan yang lebih tinggi iaitu kira-kira empat megabit sesaat (Mbps).

Mengenai kajian kerajaan untuk mengurangkan bayaran perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggan sekitar RM20 hingga RM25, kata beliau, perkara itu masih di peringkat kajian oleh SKMM.

Menurutnya, kerajaan harus berbincang dengan syarikat-syarikat telco seperti Maxis, Celcom dan Digi terlebih dahulu berikutan syarikat-syarikat itu juga mempunyai caj-caj tersendiri.

''Untuk meletakkan caj yang sama rata dengan syarikat-syarikat telco itu adalah mustahil kerana tentunya mereka mempunyai caj yang tersendiri.

''Paling mustahak dalam kajian itu ialah kita mahu caj yang dikenakan mesti munasabah dan mampu ditanggung oleh semua masyarakat. Jika RM48 ke atas itu memang mahal, paling mampu ialah RM20 hingga RM25,'' jelas beliau.

Terdahulu, berkenaan sasaran kerajaan untuk mencapai 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah pada akhir 2010, beliau berkata, pihaknya yakin perkara itu dapat dicapai.

Projek RM10j tingkat hasil tanaman padi

2010/06/18
Langkah naik taraf Skim Pengairan Lawang manfaatkan lebih 200 petani

SELARAS hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan hasil padi negara, sistem pengairan dan saliran yang cekap dan sempurna adalah penting dalam sektor tanaman padi.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil langkah menaiktarafkan Skim Pengairan Lawang bagi memastikan 23 sawah di kawasan itu mendapat bekalan air mencukupi. Walaupun sebelum ini ada tali air sepanjang 19 kilometer (km) di mana 2.1km adalah tali air konkrit dan selebihnya adalah tali air tanah, pesawah masih menghadapi masalah pengairan dan hanya dapat menanam padi sekali setahun dengan purata hasil yang rendah. Projek ini dijangka meningkatkan punca air dan sistem pengairan sedia ada, sekali gus membolehkan tanaman padi diusahakan dua kali setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ketika mengadakan perjumpaan bersama penduduk Skim Pengairan Lawang, semalam, berkata beliau amat berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada lebih 200 petani berbanding sebelum ini hanya 83 petani yang mempunyai peluang bertanam.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui perunding dan kontraktor yang dilantik akan berusaha menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan Lawang 1, 2 dan 3.

Bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan ini, Noh berkata, sistem saliran akan diperbaiki seperti membersih Sungai Lawang, Sungai Jedok, Sungai Kelisar dan juga Sungai Alor Rotan.
Majlis perjumpaan yang berlangsung di PPK Lanas, Jedok, Kampung Batu Gajah itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli, Kelantan.

Noh berkata, projek menaik taraf Skim Pengairan Lawang adalah salah satu inisiatif dan komitmen Mustapa ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas sebelum ini.

“Saya diamanahkan untuk mengambil tugas ini selepasnya. Projek Menaiktaraf Skim Pengairan Lawang adalah salah satu inisiatif dan komitmen Datuk Seri Mustapa dalam membangunkan kawasan Parlimen dan tentu sekali beliau ingin melihat akan kejayaan projek pembangunan ini pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Noh berkata, pucuk kepemimpinan negara memberi tumpuan lebih kepada sektor pertanian pada masa kini dengan menyalurkan peruntukan yang lebih besar bertujuan menjadikan sektor ini sebagai satu sektor yang moden dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjadi satu kaedah untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.

Katanya, kerajaan amat komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian kerana sektor ini mempunyai masa depan yang cerah, walaupun berhadapan pelbagai isu dan cabaran.

“MOA adalah salah satu kementerian yang memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan ekonomi rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Secara amnya, negara masih lagi mengimport bahan makanan dan kita berazam untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan agro makanan, yang sekarang ini hampir berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, salah satu program untuk mencapai matlamat mengurangkan defisit dagangan ini di bawah Dasar Pertanian Negara adalah melalui menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan di luar jelapang padi.

Menerusi langkah ini, katanya, produktiviti atau penghasilan bahan makanan terutama padi dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih ekonomik, di samping meningkatkan pendapatan petani dan peladang.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan hasil padi negara, sistem pengairan dan saliran yang cekap dan sempurna adalah penting dalam sektor tanaman padi. Ketika ini Skim Pengairan Lawang hanya dapat ditanam padi sekali setahun dan dengan purata hasil yang rendah. Dengan meningkatkan punca air dan sistem pengairan sedia ada adalah dijangkakan tanaman padi dapat diusahakan sebanyak dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan kemudahan dengan harapan petani dibantu untuk meningkatkan hasil tanaman padi agar mendapat bekalan pengairan yang lebih sempurna dan lebih berjadual, di samping kemudahan mengurangkan kesan banjir.

Walaupun begitu, ujar beliau, kerajaan mahu melihat pembabitan petani dalam menguruskan bekalan air di sawah bendang dengan menggalakkan petani menubuhkan Kumpulan Pengguna Air (KPA) bagi membolehkan urusan bekalan air di sawah lebih teratur dan menjimatkan.

“Langkah ini juga membolehkan petani membuka lebih banyak kawasan yang tidak bertanam seterusnya mampu mencapai matlamat tanaman dua kali setahun dengan jadual tersusun.

“Dengan terbina dan siapnya projek menaik taraf kawasan Skim Pengairan Lawang ini seharusnya mendapat kemudahan prasarana dan infrastruktur yang sempurna dan lengkap. Saya percaya bahawa skim pengairan ini akan menjadi satu skim yang boleh mengeluarkan hasil yang tinggi pada masa akan datang dalam usaha membangunkan sektor pertanian agro makanan negara,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, keprihatinan Kerajaan Pusat membantu petani menaiktarafkan sistem pengairan di situ membolehkan petani menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang sekian lama mereka hadapi seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau menjelaskan, projek ini sepatutnya siap pada April 2010 yang lalu, tetapi atas sebab tertentu pihak kontraktor memohon dilanjutkan ke November 2010.

“Oleh itu, perjumpaan ini diadakan bagi menjelaskan masalah yang timbul dan mendapatkan maklum balas daripada petani yang terbabit. Saya meminta hadirin bertenang dan berbincang dalam dengan baik dalam suasana harmoni untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik kepada permasalahan yang timbul,” katanya.

Mustapa berkata, beberapa KPA akan dibentuk di kawasan pengairan bertujuan menyelaraskan segala aktiviti pengurusan air, termasuk penyenggaraan sistem pengairan dalam kawasannya

RM200 juta bina kompleks pemulihan pekerja hilang upaya

2010/06/18
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membina kompleks pemulihan untuk pekerja yang hilang upaya bernilai RM200 juta di Alor Gajah, Melaka sebagai inisiatif membantu ahli.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata ia akan dibina di kawasan seluas 51 hektar yang dilengkapi segala kemudahan termasuk tenaga pakar dalam pelbagai bidang, khusus untuk ahli PERKESO yang terbabit dalam kemalangan atau hilang upaya untuk bekerja selepas menjalani perubatan. “Kompleks ini akan memberi latihan pemulihan kepada mereka seperti fisioterapi dan kaunseling. Matlamat kita agar mereka dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan enam mesin haemodialisis sumbangan PERKESO kepada MAA Medicare Charity Fund, di sini, semalam. Enam mesin itu akan adalah untuk MAA Medicare Charity Fund di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur; MAA Medicare Charity Fund Kajang dan MAA Charity Fund Kota Bharu, Kelantan bagi memudahkan orang berinsurans PERKESO menjalani rawatan dialisis.

Setakat ini PERKESO sudah melantik 102 pusat haemodialisis di seluruh negara dengan membelanjakan RM11.2 juta untuk pembelian 289 buah mesin haemodialisis.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, kompleks pemulihan itu dijangka siap pada 2013 dan yang pertama dibina PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia.

“Jika ada dana lebih, kami akan membina lebih banyak lagi kompleks sebegini. Ia akan bertindak seperti hospital dan bergantung kepada kes yang dirujuk kepada PERKESO.
“Program pemulihan ini dijalankan sejak 2007 dan setakat ini 794 kes diselesaikan dan mereka kembali bekerja seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menimbulkan kerisauan terhadap permohonan daripada penerima pencen ilat dan bukan ilat untuk mendapatkan rawatan dialisis.

“Permohonan untuk mendapatkan rawatan dialisis dikalangan ahli PERKESO semakin meningkat setiap tahun. 2008 kita menerima 3,820 kes dengan kos rawatan RM43.4 juta dan meningkat 23 peratus pada 2009 dengan kos rawatan RM53 juta.

“Tahun ini sehingga Mei sebanyak 4,895 kes diluluskan dengan kos rawatan sebanyak RM29 juta. Ini membimbangkan kerana ramai pekerja sakit buah pinggang. Saya berharap pihak berkenaan selidik kenapa rakyat Malaysia banyak menghidap penyakit buah pinggang.

“Ini bukan soal kos rawatan, tetapi lebih kepada kesedaran kesihatan rakyat Malaysia. Saya nasihatkan rakyat khususnya pekerja mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.