Tuesday, February 16, 2010

Henti kenderaan kurang 20 minit di lorong kecemasan

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mendapatkan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan setiap kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan tidak mengambil masa terlalu lama seperti mana sekarang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, usaha ini menyasarkan supaya semua kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan tidak mengambil masa melebihi tempoh 20 minit.

Katanya, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan polis dan pemilik konsesi lebuh raya bagi mengenalpasti langkah yang boleh diambil bagi mencapai sasaran ini termasuk menyediakan khidmat lori penunda.

''Kita boleh tambah bilangan kamera bagi kesan setiap kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan serta mewujudkan khidmat penunda bagi mengalihkan kenderaan yang rosak itu secepat mungkin," katanya ketika mengadakan lawatan di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Suret berkata, usaha ini diharap mendapat kerjasama semua kerana kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan dalam tempoh masa yang lama umpama 'bom jangka' yang bila-bila masa sahaja boleh membawa padah.

"Kemalangan maut akibat melanggar kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan semakin meningkat dan langkah segera perlu diambil untuk mengatasi masalah ini," jelasnya.

Mengulas mengenai kemungkinan menggubal undang-undang berhubung tempoh masa berhenti di lorong kecemasan, Suret berkata, isu itu masih dalam peringkat awal perbincangan.

"Buat masa ini kita hanya menumpukan kempen ini dahulu dan mengenai undang-undang, ia di bawah bidang kuasa kementerian," katanya.

Menurut Suret, bermula Januari lalu, JKJR telah menggunakan khidmat sukarelawan yang terdiri daripada mangsa kemalangan untuk menjadi jurucakap kempen yang akan diadakan.

"Cara ini dijangka berkesan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Setakat ini seorang sukarelawan telah menjadi jurucakap JKJR dan kita sangat mengalu-alukan jika ada yang sudi berbuat demikian," katanya.

No comments:

Post a Comment