Thursday, February 11, 2010

Persatuan pengguna di taman perumahan

SEREMBAN 11 Feb 2010 - Setiap kampung dan taman perumahan di negeri ini disaran menubuhkan persatuan pengguna di kalangan penduduk setempat dalam usaha memperkasakan pengetahuan berhubung kepenggunaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, langkah itu wajar memandangkan tahap kesedaran kepenggunaan di kalangan masyarakat khususnya di negeri ini masih rendah.

''Usaha ini diyakini dapat membantu mempertingkatkan pengetahuan mengenai kepenggunaan termasuk mengetahui hak-hak mereka (rakyat) sebagai pengguna dari terus dicabuli atau dianiaya.

''Selain menajamkan pengetahuan sebagai pengguna, penubuhan persatuan ini juga bertindak dalam menyalurkan maklumat tepat mengenai kepenggunaan," katanya.

Hasim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan penduduk setempat untuk bersatu hati menubuhkan persatuan pengguna di kawasan masing-masing seperti di kampung, daerah dan juga negeri.

Menurut Hasim, penganjuran seminar berhubung kepenggunaan sedikit sebanyak membolehkan ilmu-ilmu kepenggunaan yang selama ini tidak diketahui oleh masyarakat setempat dikongsi bersama.

''Dengan adanya seminar seperti ini, masyarakat ataupun rakyat dapat mengetahui dan menggunakan ilmu-ilmu kepenggunaan dengan lebih mendalam.

''Saya harap masyarakat kita menjadi pengguna yang bijak dan jika terdapat sebarang isu berkaitan kepenggunaan, tidak perlu lagi kerajaan bersusah-payah memaklumkan kepada mereka kerana sudah boleh membuat pertimbangan sendiri," ujarnya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung bekalan gula sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, Hasim berkata, bekalan gula bagi negeri ini dilaporkan mencukupi.

''Berdasarkan laporan, bekalan gula di negeri ini berada pada tahap yang mencukupi untuk menampung keperluan semua. Lebih-lebih lagi dengan kedatangan sambutan perayaan Tahun Baru Cina," jelasnya.

No comments:

Post a Comment