Friday, February 5, 2010

Sekolah latihan nelayan di Tanjung Manis dalam RMK-10

06/02/2010 11:37am


SIBU 6 Feb. — Sebuah sekolah latihan nelayan akan diwujudkan di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada remaja di kawasan itu dan Sarawak pada keseluruhannya agar mereka dapat dilatih sebagai nelayan moden yang progresif.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi, Noh berkata, Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) di bawah kementeriannya akan membantu merangka silibus, syarat kemasukan dan maklumat lain.

"Kami akan memulakannya dalam skala kecil, kemungkinan buat permulaan melatih 80 pelajar agar dapat mengambil lebih ramai pelajar pada masa depan.

"Objektif asasnya ialah untuk melatih remaja kita untuk menjadi nelayan yang lebih baik, berkemahiran tetapi bukan sahaja untuk meneroka laut dalam untuk menangkap, tetapi kami berharap mereka akan membabitkan diri dalam kegiatan berkaitan seperti dalam industri hiliran. - Bernama

No comments:

Post a Comment