Wednesday, February 3, 2010

Agrobank aktifkan semula 'menyudut'

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my



Rani Endut (kiri) dan pegawainya, Wan Mohd. Nasir Wan Yusof mengutip wang simpanan seorang peniaga sayur di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 3 Feb 2010 - Agrobank cawangan Kota Bharu menjangkakan dapat mengutip RM1.2 juta pada tahun ini apabila mengaktifkan semula kaedah pungutan simpanan bergerak yang disasarkan di kalangan peniaga di pasar-pasar.

Menurut Pengurusnya, Rani Endut, pendekatan yang dimulakan di Pasar Siti Khadijah di sini sejak 1991 tetapi terhenti selepas tiga tahun akan dihidupkan dan diperluaskan ke beberapa pasar utama di jajahan ini dan juga Tumpat.

Katanya, kaedah yang dikenali sebagai menyudut (sudut) iaitu dengan menghantar pegawai bank ke lokasi yang dikenal pasti pernah diguna pakai di sekitar Pasar Siti Khadijah pada tahun 1991 hingga 1993.

''Buat masa ini terdapat RM4 juta simpanan para peniaga pasar tersebut sejak ia dibuka pada tahun 1991. Kaedah ini terhenti atas beberapa faktor termasuk kekurangan kakitangan.

''Tahun ini, bank bercadang memperkenalkan semula kaedah yang sama dengan menambah jumlah pasar basah dan kering dengan tumpuan di dua jajahan di bawah seliaan Agrobank Kota Bharu termasuk di Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Wakaf Bharu, Pasar Berek 12, Pasar Tumpat dan Pasar Pengkalan Kubor.

"Penambahan bilangan lokasi ini dijangka turut meningkatkan jumlah simpanan sudut tetap Pasar Siti Khadijah melebihi 30 peratus daripada jumlah yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia hari ini selepas melawat sudut tetap di pasar tersebut yang dibaik pulih dengan kos RM62,000 dan dilancarkan semula oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam, Mohd. Fauzi Abd. Rahim kelmarin.

Rani menambah, sejak sudut tetap tersebut diwujudkan sembilan tahun lalu, sambutan orang ramai terutama di kalangan peniaga di pasar tersebut yang mengambil peluang menyimpan hasil pendapatan harian mereka adalah menggalakkan.

Lebih-lebih lagi katanya diperkenalkan pula kaedah menyudut dengan pegawai akan menemui peniaga bagi menerima serahan simpanan harian di antara RM2 sehingga RM100 seorang.

''Selepas tujuh tahun dihentikan kerana kekurangan kakitangan, kaedah menyudut diaktifkan semula untuk membuka peluang peniaga dan orang ramai berurusan secara lebih cepat kerana kedudukan yang berhampiran dengan premis perniagaan masing-masing.

''Pegawai akan menggunakan sebuah mesin elektronik khas untuk mendeposit wang simpanan pelanggan sebagai rekod dan pada sebelah petang wang akan diserahkan kepada sudut tetap di Pasar Siti Khatijah," ujarnya.

Rani berkata, kaedah bergerak merupakan inisiatif pihak pengurusan bank di daerah masing-masing untuk mendekati pelanggan dengan menggunakan strategi pemasaran yang terancang.

Buat masa ini katanya, terdapat 1,900 daripada jumlah keseluruhan 2,500 peniaga di pasar tersebut menjadi pelanggan bank dan orang ramai yang membeli-belah turut mengambil kesempatan mengunjunginya.

''Mereka terdiri daripada pemegang akaun simpanan, simpanan tetap dan perkhidmatan Patriot Perdana. Selain itu, perkhidmatan lain turut ditawarkan termasuk insurans Agrikasih-i serta bayaran pelbagai bil seperti bil air Kelantan, Tenaga Nasional Berhad, Celcom dan Astro," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga menjangkakan bilangan pelanggan bertambah berikutan kempen 'Simpan Dapat Kereta' yang diperkenalkan tahun ini.

"Melalui kempen tersebut, pemegang akuan simpanan melebihi RM100 seorang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang dibuat empat bulan sekali dengan menawarkan empat buah kereta, Perodua Myvi, Toyata Camry, Toyota Hilux dan Toyota Fortuner sepanjang tahun ini," katanya.

No comments:

Post a Comment