Wednesday, February 3, 2010

Batik 1Malaysia diperkenal esok (3/2/10)

NAJIB meneliti baju batik 1Malaysia yang diperagakan model sambil diberi penerangan oleh Rais di Putrajaya, semalam.


KUALA LUMPUR: Batik 1Malaysia yang bakal dijadikan pakaian acara rasmi serta pada majlis 1Malaysia akan diperkenalkan kepada umum pada program 1Malaysia di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka malam esok.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata batik hasil rekaan kraftangan Malaysia akan dipakai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta semua menteri yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata rekaan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri selepas diperagakan kepada beliau pagi semalam.



"Perdana Menteri sudah meneliti rekaan ini sebanyak dua kali dan beliau dapati semua rekaan berkenaan menarik, cuma memerlukan beberapa ubah suai agar lebih sesuai dengan tuntutan mereka yang akan memakainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di pejabatnya di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, semalam.

Rekaan batik itu pertama kali dipertontonkan kepada Perdana Menteri dan anggota kabinet pada 20 November lalu.

Rais berkata, selain angka satu (1) yang jelas tertera di bahagian dada, pilihan warna juga mewakili semua warna yang ada pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagi menyemarakkan lagi pemakaiannya, beliau meminta agar semua program yang membabitkan 15 jabatan di bawah kementerian itu mengenakan pakaian batik berkenaan dalam setiap majlis anjurannya.

Rais berkata rekaan itu tidak akan diletakkan di bawah Akta Hakcipta kerana jika berbuat demikian hasrat kerajaan untuk memperkembangkan 1Malaysia akan terhalang. – Bernama

No comments:

Post a Comment