Wednesday, April 28, 2010

Kumpulan Bikers pergi umrah bermotosikal

28/04/2010 3:53pm


TEMERLOH 28 April - Seramai 11 anggota kumpulan Bikers akan melakukan pengembaraan bermotosikal merentasi Laluan Sutera untuk ke Mekah bagi mengerjakan umrah bermula 15 Mei ini.

Program yang dinamakan Cabaran Israq itu akan menempuh perjalanan sejauh 15,000 kilometer melalui 10 negara. - Utusan

Kerajaan akan tubuh Majlis Pelabuhan Kebangsaan: Tee Keat

2010/04/28
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan Majlis Pelabuhan Kebangsaan (MPK) bagi meningkatkan koordinasi pengurusan dan membantu penjenamaan semula pelabuhan di negara ini, pada masa depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat di sini, sebentar tadi.

Tuesday, April 27, 2010

KTM perkenal koc khas untuk wanita

2010/04/28
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter memperkenalkan koc khas untuk wanita mulai hari ini bertujuan memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang daripada risiko gangguan seksual dan bersesak dengan penumpang lelaki.

Gerabak berkenaan yang beroperasi sepanjang hari bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang berada di bahagian tengah komuter menggunakan tema ‘Wanita Saja Sepanjang Masa, Ladies Only At All Times’ dan dibezakan dengan pelekat khas berwarna merah jambu. “Pelanggan akan dapat mengenali gerabak ini melalui pelekat khas dipamerkan di tingkap, pintu dan koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian gerabak wanita melalui kain rentang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan merah jambu,” menurut kenyataan dikeluarkan KTM Bhd, semalam. Menurut kenyataan itu, pengguna wanita yang mewakili 60 peratus pengguna KTM Komuter tidak diwajibkan menggunakan gerabak khas itu dan boleh memilih menggunakan gerabak biasa.

Monday, April 26, 2010

Telefon mudah alih konsep syariah di Pantai Timur

PASIR PUTEH 26 April - Perkhidmatan telefon mudah alih yang pertama berkonsepkan syariah Islam akan diperkenalkan di Pantai Timur selewat-lewatnya Julai ini dengan pakej yang lebih menarik.

Pengarah Urusan Syarikat Ghazz Network (M) Sdn. Bhd., Ghazali Mohd Saat berkata, perkhidmatan itu ditaja oleh Baraka Telecom Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kuwait dengan usahasama Ghazz Networks yang berpejabat di Kota Bharu.

"Seramai 550 ejen di Kelantan dan Terengganu sudah dikenal pasti bagi meluaskan rangkaian perkhidmatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, 24 daripada ejen itu sudah diberi latihan dan penerangan mengenai keistimewaan perkhidmatan itu yang akan menawarkan kadar penggunaan yang terendah berbanding dengan syarikat-syarikat mudah alih lain.

Perkhidmatan itu juga menawarkan keuntungan bersama selain menjalankan kerja-kerja amal kebajikan kepada masyarakat Islam seperti mengumarahkan masjid dan kegiatan sukan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, katanya.

Ghazali berkata, pelanggan yang menunaikan fardu haji dan umrah pula akan dapat manfaat apabila menggunakan perkhidmatan itu ketika berada di Mekah dan Madinah.

"Keluarga mereka yang berada di tanah air boleh menghantar wang hanya dengan menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman awal berjumlah RM1 juta daripada mana-mana institusi kewangan di negara ini dalam tempoh terdekat. - Bernama

Insentif galak teknologi hijau

Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my
2010/04/27

NAJIB menerima pokok Belian (Eusideroxylon Zwageri) daripada Tun Jeanne Abdullah selepas majlis pelancaran 'Malaysia Green Forum 2010 di Putrajaya, semalam.Najib pertimbang beri pelepasan cukai kepada sumbangan alam sekitar

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbangkan insentif pelepasan cukai bagi sumbangan kepada dana alam sekitar dan potongan cukai bagi bangunan atau reka bentuk menggunakan teknologi hijau serta mesra alam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata butir terperinci akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 nanti. Beliau berkata insentif itu dapat menggalakkan syarikat meneroka dan mengguna pakai teknologi hijau, dalam operasi mereka di samping meningkatkan keyakinan institusi perbankan memberi pinjaman bagi projek berkaitan teknologi hijau selain memupuk amalan hidup mesra alam di kalangan rakyat.

Berucap merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010, di sini semalam, Najib yang juga Pengerusi Majlis Tenaga Hijau, berkata kerajaan mahu lebih banyak syarikat memperkenalkan peralatan mesra alam menggunakan teknologi terkini pada kos rendah untuk kegunaan umum, sekali gus menggalakkan rakyat membudayakan teknologi itu.

Katanya, enam perkara atau singkatannya 'AFFIRM', mencakupi aspek kesedaran, fakulti, kewangan, infrastruktur, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta pemasaran menjadi asas penting bagi ekosistem yang lengkap dan holistik dalam aspek pemuliharaan alam sekitar secara mapan.

Pada masa sama, beliau belum berpuas hati dengan pengeluaran pinjaman untuk syarikat yang terbabit dalam teknologi hijau yang dananya sebanyak RM1.5 bilion ketika diumumkan dalam Bajet 2010.

Bercakap pada sidang media kemudian, Najib berkata institusi kewangan sukar meluluskan pinjaman untuk sektor teknologi hijau mungkin kerana mereka belum cukup yakin dengan potensi pembangunan teknologi hijau dan beliau akan meneliti masalah itu.

"Kita harus faham teknologi hijau masih baru dan belum terbukti keberkesanannya. Justeru, faktor risiko adalah tinggi dan memerlukan kajian terperinci berhubung potensi serta daya saing.

"Bagaimanapun, kegagalan dalam teknologi baru seumpama itu tidak wajar dianggap sebagai penghujung sesuatu projek kerana setiap kegagalan ada pengajaran yang perlu kita belajar bagi menjamin kejayaan dalam percubaan seterusnya,” katanya.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; isteri beliau, yang juga Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Forum diadakan sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan Najib di Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim pada Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata setiap wakil rakyat perlu prihatin pada isu berkaitan kesejahteraan dan kualiti hidup kerana masyarakat banyak bergantung kepadanya.

Tambahan pula, isu alam sekitar dan kualiti hidup amat diminati pengundi, terutama golongan muda yang inginkan kerajaan dan wakil rakyat menunjukkan keprihatinan dan berpendirian tegas dalam isu itu.

Sunday, April 25, 2010

MPS perkenal 2 sistem lulus lesen

SEREMBAN 25 April 2010 - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) memperkenalkan dua sistem kelulusan lesen iaitu 'Fast Track' dan Serta-Merta bagi mempercepatkan proses permohonan lesen premis perniagaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Halim Abdul Latif berkata, sehingga kini, sebanyak 2,028 lesen diluluskan membabitkan sistem lesen 'Fast Track' sebanyak 110 lesen dan 1,918 lesen jenis Serta-Merta.

''Melalui kelulusan secara 'Fast Track', lesen boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari bekerja dengan syarat segala dokumen permohonan lengkap dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 26 jenis perniagaan disenaraikan di bawah kelulusan ''Fast Track'' termasuk kedai gambar, persolekan, alat-alat sukan, tukang jahit, kasut, pakaian, makanan dan minuman.

"Lainnya termasuk premis perniagaan di kompleks perniagaan, rumah kedai (tingkat bawah), kilang industri dan hotel," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi kelulusan secara Serta-Merta pula, lesen diperoleh dalam masa 30 minit dengan syarat segala dokumen permohonan lengkap dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

''Premis perniagaan yang diluluskan adalah bangunan rumah kedai dan kompleks perniagaan.

''Di bawah kaedah Serta-Merta, sebanyak 70 jenis lesen disenaraikan iaitu lesen penjaja gerai atau statik, lesen pasar tani, lesen pasar malam atau bergerak, tapak semaian, membuat papan iklan dan sebagainya," ujarnya.

Tambahnya, sistem kelulusan lesen secara 'Fast Track' dilaksanakan sejak 1 Ogos 2007 manakala sistem kelulusan secara Serta-Merta dimulakan pada 1 April 2008.

Abdul Halim berkata, bagi kelulusan lesen premis perniagaan yang tidak termasuk di bawah senarai kelulusan secara 'Fast Track' atau Serta-Merta, ia akan diproses secara biasa.

''Selepas pegawai-pegawai MPS akan melakukan siasatan, dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Pembersihan MPS yang mengambil masa 30 hari sekiranya mendapat sokongan daripada semua jabatan teknikal berkenaan.

''Bagi mempercepatkan kelulusan lesen secara biasa ini, MPS telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Pembersihan dua kali sebulan untuk menimbangkan permohonan yang diterima," katanya.

Di samping itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhubung terus dengan Jabatan Pelesenan dan Pembersihan MPS apabila mengemukakan permohonan untuk diproses.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 06 7642940 atau layari lawan sesawang www.mpsns.gov.my.

Monday, April 19, 2010

Malaysia, Jepun laksana projek jaga alam sekitar

2010/04/20
MALAYSIA dan Jepun bersetuju melaksanakan 20 projek menerusi Inisiatif Kerjasama Malaysia-Jepun untuk Tenaga dan Alam Sekitar, ke arah memperkukuhkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang berkenaan.

Daripada jumlah itu, 11 projek adalah berasaskan alam sekitar, manakala sembilan lagi untuk konservasi tenaga dan tenaga boleh diperbaharui. Daripada 11 projek berasaskan alam sekitar, masing-masing empat membabitkan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan bahan kimia, dua projek pemuliharaan biodiversiti dan satu projek kitar semula. Bagi sembilan projek tenaga pula, enam membabitkan tenaga boleh diperbaharui, dua projek pemuliharaan tenaga dan satu projek penilaian standard.

Inisiatif berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat dua hala 45 minit antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama, di Pejabat Perdana Menteri Jepun, Sori Kantei di sini, semalam.

Menerusi inisiatif berkenaan, Jepun antara lain akan membantu Malaysia merangka pelan induk dan pelan tindakan konkrit untuk mempromosi dasar pengurangan sisa.

Ia juga akan menyokong pengwujudan sistem kitar semula sisa dan elektronik di Malaysia dengan memanfaatkan kedudukan Jepun sebagai negara peneraju sistem kitar semula sisa dan perkhidmatan kitar semula elektronik menerusi Undang-Undang Kitar Semula Kelengkapan Rumah (HARL) yang diperkenalkan Jepun pada Jun 1998.

Jepun akan terbabit dalam pembinaan institusi untuk sistem pemuliharaan tenaga di Malaysia, termasuk keperluan latihan dan pertukaran maklumat berkaitan membabitkan undang-undang dan pemuliharaan serta kecekapan tenaga, sekali gus membantu Malaysia merangka langkah ke arah mewujudkan Bandaraya Karbon Rendah.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, kedua-dua pimpinan Jepun memperakui pentingnya kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga dan bersetuju memperluaskan kerjasama dalam bidang teknologi hijau bagi mencapai pertumbuhan mapan dan meningkatkan daya saing.

Jepun juga bersetuju meningkatkan pelaburan terutama dalam bidang tenaga dan alam sekitar serta memberi jaminan akan memberi sokongan kepada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan Malaysia.

Kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan dan memanfaatkan rangka kerja termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Malaysia (JMEPA).

Dalam pertemuan semalam, Najib turut menjemput Hatoyama melawat Malaysia dengan kedua-dua pemimpin sepakat bahawa hubungan dua hala kini memasuki era baru ke arah pengukuhan

Sunday, April 18, 2010

Promosi agresif tingkat pelancongan inap desa

2010/04/19
SUNGAI TENGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap jumlah pelancong yang menyertai program inap desa akan meningkat selepas portal e-pemasaran diwujudkan yang membolehkan tempahan dilakukan melalui telefon 3G.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, tempahan industri inap desa melalui portal ini perlu dipromosikan dengan lebih agresif kerana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. Katanya, industri yang menjurus kepada mempromosi adat resam, budaya dan cara hidup masyarakat luar bandar itu mempunyai potensi besar dan tidak memerlukan pelaburan tinggi. “Industri ini perlu dibangunkan dengan lebih agresif lagi. Saya yakin melalui kaedah dan kemudahan ini, tahap kunjungan ke inap desa khusus di kalangan rakyat Malaysia akan terus meningkat,” katanya ketika berucap melancarkan promosi e-pemasaran inap desa di Felda Sungai Tenggi, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Muhyiddin berkata, jumlah pendapatan inap desa Malaysia meningkat 77 peratus kepada RM10.9 juta pada 2009, berbanding RM6.4 juta pada 2008.

Katanya, jumlah pelancong yang mengikuti program inap desa melonjak 77 peratus kepada 161,561 iaitu 130,038 pelancong domestik dan 31,523 pelancong asing.

Thursday, April 8, 2010

Suruhanjaya Persaingan diwujud

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/09
PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan yang akan diwujudkan untuk menguatkuasakan Akta Persaingan bertujuan menyekat amalan kartel dan monopoli dalam semua sektor komersial, adalah sebuah suruhanjaya bebas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Suruhanjaya itu akan dianggotai oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan, profesional, termasuk peguam dan ahli ekonomi, yang memiliki kepakaran untuk membuat penilaian terhadap setiap aduan diterima.

Pelantikan ahli suruhanjayanya akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “Daripada bermula bacaan kali pertama akta itu di Parlimen, semalam (kelmarin) sehingga diluluskan Dewan Negara dan diwartakan, kita ada masa 18 bulan untuk menguatkuasakannya. Dalam tempoh itulah, Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan.

“Suruhanjaya ini akan memantau kes yang membabitkan monopoli dan kartel. Jika ada satu kuasa yang memonopoli, mereka akan menentukan harga, bekalan, suasana pelaburan menyebabkan suasana perniagaan tidak mesra.

“Kita juga tidak membenarkan syarikat besar untuk berpakat menentukan harga, bekalan dan sebagainya sehingga merugikan pengguna kerana terpaksa membeli produk pada harga mahal yang ditetapkan sesuka hati oleh peniaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) Ke-14 di sini, semalam.

Pada majlis konvokesyen itu, seorang graduan MKM dianugerahkan Sarjana Pengurusan Koperasi dan Pembangunan Organisasi dari University of Leicester, United Kingdom, 35 graduan menerima Diploma Pengurusan Koperasi, manakala 12 lagi mendapat Sijil Pengurusan Koperasi.

Ismail Sabri berkata mulai kemasukan tahun lalu, pelajar pengajian diploma dan ijazah di MKM hanya ditawarkan pembiayaan dalam bentuk pinjaman yang boleh diubah kepada 50 peratus biasiswa sekiranya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3 ke atas dan 100 peratus bagi PNGK melebihi 3.8

Sunday, April 4, 2010

PDRM guna sistem radio digital

PULAU PINANG 4 April 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan sistem radio digital, Royal Malaysian Police net atau RMPnet mulai bulan ini bagi menggantikan sistem lama berbentuk analog yang digunakan sejak 15 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, RMPnet yang dibangunkan dengan kos RM980 juta itu dihasilkan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan membantu operasi polis membanteras jenayah dengan lebih cepat.

Katanya, sistem komunikasi baru ini akan menyaksikan penggunaan radio digital (walkie talkie) sepenuhnya yang lebih canggih kepada anggota PDRM terlibat yang berfungsi meningkatkan kadar dan kepantasan mereka berhubung termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)

''Sistem ini bukan sahaja mampu menghubungkan antara anggota polis dengan agensi yang lain malahan antara negeri.

''Ia amat berkesan digunakan dalam operasi bersepadu di mana anggota PDRM berupaya berhubung dengan agensi dan jabatan lain dengan lebih cepat dan berkesan terutama membabitkan kes jenayah," katanya.

Jelas Hishammuddin, buat permulaan sistem komunikasi itu akan digunakan di kawasan panas seperti disenaraikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mencegah jenayah iaitu sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, selepas itu penggunaan RMPnet akan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Johor sebelum dikembangkan ke seluruh negara setelah keberkesanannya diperakui.

''Walaupun sistem ini sudah berjaya dilaksanakan di Hong Kong dalam tetapi kita perlu lihat dahulu kekangan yang kita hadapi ketika menggunakannya.

"Setelah ia diatasi barulah kita perluaskan penggunaannya di seluruh negara secara berperingkat-peringkat ," katanya selepas melawat kilang Motorola di Bayan Lepas di sini Jumaat lepas.

Saturday, April 3, 2010

SMV laksana konsep Sekolah Keusahawanan

2010/04/04
BACHOK: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Konsep Sekolah Keusahawanan di kalangan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) negara ini, dalam usaha melahirkan modal insan yang lebih dinamik serta inovatif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, konsep baru ini akan menekankan kepada kaedah pendidikan berasaskan pengeluaran hingga pemasaran sesuatu hasil.

Contohnya dalam sektor pertanian, pelajar akan bermula dari proses awal pengenalan bahan seperti benih sehingga produk akhir iaitu pembungkusan dan pengeluaran dalam persekitaran sebenar, katanya. Beliau berucap merasmikan Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2010, di Pusat Kokurikulum, Kem Tangok, dekat sini, semalam, yang turut disertai kira-kira 300 pelajar.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata konsep baru yang dijangka dilaksanakan mulai akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta awal RMK-10, mempunyai pendekatan baru membantu menyumbang ke arah pembangunan modal insan terutama generasi muda negara.

Sebagai hadiah kepada rakyat Kelantan, Kementerian Pelajaran akan membina sebuah SMV berkonsepkan pertanian di Pasir Puteh. Tapaknya seluas 98 hektar sudah dikenal pasti dan ia mampu menampung seramai 800 pelajar.

Konsep baru ini membolehkan pelajar mempraktikkan pendidikan dalam bilik darjah dengan persekitaran sebenar, katanya.

Thursday, April 1, 2010

Pelabuhan Pulau Pinang dibangunkan

PULAU PINANG 1 April 2010 - Kerajaan Pusat akan memberi keutamaan terhadap projek mendalamkan perairan Selat Utara di Pelabuhan Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi meningkatkan daya saing pelabuhan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, projek itu bertujuan merancakkan aktiviti sektor perkapalan terutama bagi menggalakkan kapal-kapal besar berlabuh di pelabuhan itu.

Menurutnya, sebagai salah sebuah pelabuhan penting, sumbangan Pelabuhan Pulau Pinang kepada aktiviti ekonomi negara masih relevan dengan rekod pertumbuhan positif sepanjang tahun lalu.

''Meskipun dilanda krisis ekonomi, Pelabuhan Pulau Pinang berjaya mencatat pertumbuhan positif dalam pengendalian kontena sebanyak tiga peratus daripada 929,639 unit bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2008 kepada 958,476 TEU tahun lalu," katanya.

Beliau berucap pada majlis penjenamaan semula Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Pengerusi PPSB, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Ahmad Ibni Hajar.

Penjenamaan semula itu menyaksikan penggunaan uniform, logo dan laman web PPSB yang baru.

Muhyiddin memberitahu, projek yang dirancang itu merupakan pelengkap kepada pelaburan PPSB sebanyak RM1.1 bilion bagi pembesaran dan perubahan perniagaan pelabuhan tersebut dari tahun lalu sehingga 2012.

''Kita sedar PPSB bukan sahaja menguruskan kargo-kargo terminal pelabuhan antarabangsa tetapi merangkumi perkhidmatan lain seperti feri dan terminal,'' jelasnya.

Majlis Profesor Negara dilancar

PUTRAJAYA 1 April 2010 - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Majlis Profesor Negara yang menggabungkan kepakaran 1,426 orang profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Majlis tersebut berperanan membantu kerajaan dengan menyumbang input dalam pelbagai bidang khususnya untuk memperkukuhkan asas penggubalan dasar negara dan juga menjayakan Model Ekonomi Baru.

"Saya berharap Majlis Profesor Negara yang dilancarkan ini merupakan wadah untuk membina golongan Murabbi dalam konteks universiti moden yang semakin luas dan mencabar," kata beliau pada pelancaran majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Murabbi, satu istilah Arab yang merujuk kepada tenaga pendidik yang bukan hanya mengajarkan sesuatu ilmu tetapi juga membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.
Sempena pelancaran itu, Perdana Menteri turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga pemimpin tertinggi serta ketua-ketua kluster Majlis Profesor Negara.

Berikut ialah senarai pemimpin dan ketua-ketua kluster dalam Majlis Profesor Negara:


Pengerusi: Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid (USM)


Timbalan Pengerusi : Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (UKM)


Setiausaha: Prof. Dr. Raduan Che Rose (UPM)


Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam: Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (UIAM)


Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan: Prof. Dato' Dr. Mohd Amin Jalaludin (UM)


Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan: Prof. Dr. Zakaria Kasa (UPSI)


Ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan: Prof. Dr. Ghizan Saleh (UPM)


Ketua Kluster Industri dan Inovasi: Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun (UiTM)


Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa: Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak (UUM)


Ketua Kluster Sains dan Matematik: Prof. Dr. Lim Koon Ong (USM)


Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar: Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo (UKM)


Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman (UKM)


Ketua Kluster Kejuruteraan dan Teknologi: Prof. Datuk Dr. Ahmad Darus (UTM)


Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya: Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (UPSI)


Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan: Prof. Datuk Dr. Roziah Omar (UM)


Ketua Kluster Ekonomi dan Kewangan: Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Mohd Ghazali (UKM)


Ketua Kluster Farmasi dan Sains Gunaan: Prof. Emeritus Dr. V. Navaratnam (USM)

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pengumuman enam Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) sebagai mengiktiraf sumbangan dan prestasi mereka dalam akademik dan penyelidikan.

Berikut adalah enam pusat kecemerlangan berkenaan:

1. Pusat Penyelidikan Dadah Dan Ubat-ubatan (CDR), USM.

2. Institut Biosains (IBS), UPM.

3. Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), UiTM.

4. Pusat Penyelidikan Kuasa Elektronik, Pemacu Pengautomatan dan Kawalan, UM (UMPEDAC)

5. Institut Penyelidikan Molekul Ubat (INFORMM), USM

6. Institut Biologi Molekul, (UMBI), UKM.

AUKU dipinda untuk tambah Profesor Diraja

2010/04/02
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meminda Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi membolehkan jumlah Profesor Diraja yang dilantik ditambah melebihi tiga orang pada masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu pakej imbuhan yang sesuai dengan status Profesor Diraja juga akan diwujudkan yang tidak terikat dengan mana-mana tangga gaji sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata kerajaan akan mewujudkan kategori Profesor Kanan yang diletakkan di bawah Gred Turus dalam perkhidmatan awam, manakala jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh jawatankuasa khas. Najib berkata demikian pada pelancaran Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE), di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. MPN dipengerusikan oleh Penasihat Sains kepada Kerajaan Malaysia, Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Daripada kira-kira 22,500 pegawai akademik di sebanyak 20 IPTA seluruh negara, 1,426 atau 6.3 peratus berjawatan profesor.

Perdana Menteri turut menyerahkan geran tahunan masing-masing RM3 juta kepada universiti yang dipilih memiliki HICoE iaitu Center of Research for Power Electronics, Drives and Control Universiti Malaya (UMPEDAC); Institut Biologi Molekul Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI); Institut Penyelidikan Perubatan Molekul Universiti Sains Malaysia (INFORMM); Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (IBS); Pusat Penyelidikan Dadah USM (CDR) dan Institut Penyelidikan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (ARI).

Perdana Menteri juga mengumumkan beberapa peraturan perkhidmatan awam yang mempunyai implikasi keberkesanan peranan dan aktiviti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan dikaji semula secara menyeluruh.

Beliau berkata ia termasuk Surat Pekeliling Bilangan Pertama Tahun 2008, Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA April 2004 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

3 langkah baru elak seleweng kontrak kerajaan

Najib Tun Razak diiringi Ahmad Husni Hanadzlah bersalaman dengan kakitangan Kementerian Kewangan di Majlis Pelancaran Portal MyProcurement-Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 1 April 2010 - Kerajaan melaksanakan tiga lagi langkah tambahan berkaitan perjanjian integriti sebagai usaha mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah yang dikuatkuasakan mulai hari ini mewajibkan semua pembida tender menandatangani surat akuan pembida dan surat akuan pembida berjaya.

Seterusnya, beliau berkata, pembida berjaya perlu menandatangani teks perjanjian yang mengandungi klausa pencegahan rasuah dalam perolehan kerajaan.

"Saya dimaklumkan bahawa surat arahan Perbendaharaan bertarikh 1 April 2010 berkaitan langkah-langkah 'integriti pact' disampaikan kepada semua pegawai pengawal pada pagi ini.

"Semua inisiatif itu dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan kerajaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan portal Myprocurement di sini hari ini.

Portal berkenaan yang dibangunkan oleh tenaga pakar dalaman Kementerian Kewangan merupakan hasil inisiatif 'Membanteras Rasuah' di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Klausa khas mengenai 'integrity pact' telah dimasukkan dalam semua teks perjanjian kontrak-kontrak kerajaan mulai 28 Februari 2009 untuk meningkatkan tahap integriti dalam semua urusan perolehan kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, klausa berkaitan pencegahan rasuah dalam teks perjanjian perolehan kerajaan merupakan satu komitmen dan akujanji pembida yang berjaya.

"Kalau dia (pembida) gagal memenuhinya maka tindakan boleh diambil dan sebelum itu dia kena faham apa tanggungjawab sebagai seorang yang sudah mendapat kontrak," katanya.

Sementara itu beliau berkata, portal Myprocurement yang boleh diakses melalui laman web Perbendaharaan dapat meningkatkan ketelusan selain memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Katanya, portal itu memaparkan iklan tender, keputusan tender, dasar perolehan kerajaan, tatacara perolehan, soalan-soalan lazim, integriti pact dan lain-lain.

"Selama ini, persepsi orang ramai terhadap urusan perolehan kerajaan adalah kurang memuaskan malah ada suara-suara yang membangkitkan ketidakseragaman dalam penyebaran maklumat mengenai tawaran tender, ketidakadilan dalam proses pemilihan tender dan macam-macam lagi.

"Ada yang berpendapat kerajaan kurang mengambil berat dan tidak mempunyai iltizam politik yang kuat untuk memperbetulkan isu-isu tersebut," katanya.

Justeru beliau berkata, melalui portal berkenaan, kini orang ramai lebih mudah mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Memandangkan portal itu menjadi pusat pengumpulan semua maklumat perolehan kerajaan, Perdana Menteri mahu semua pegawai memberikan komitmen bagi memastikan semua iklan dan keputusan tender sentiasa dikemaskinikan.

"Maklumat yang dimuat naik mesti tepat dan cepat bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan kepada pengetahuan umum," katanya.

Beliau berkata, keputusan tender akan dipaparkan dalam tempoh 14 hari atau lebih cepat setelah surat setuju terima dikeluarkan kepada penerima tender yang berjaya.

"Maklumat dalam portal akan dikemaskinikan setiap satu jam sebab setiap kementerian akan mengemaskinikan maklumat masing-masing dan kita akan memuat naik apa yang dilakukan kementerian berkenaan," katanya.

USM cipta kaedah kesan daging babi

01/04/2010 1:25pm

PULAU PINANG 1 Apr 2010 - Orang ramai khususnya pengguna Islam kini boleh menghilangkan rasa was-was ketika ingin menikmati daging ayam apabila Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta kaedah untuk membezakannya dengan daging babi.

Menggunakan sejenis campuran gula dinamakan 'ribose', daging kedua-dua haiwan itu akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.

Penyelidik USM, Profesor Azhar Mat Easa berkata, proses ujian tersebut amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatan yang mencukupi.

Menurut beliau, seseorang hanya perlu secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan untuk diuji.

"Campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya.

"Menggunakan alat 'spectrophometer', julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi," katanya pada sidang akhbar di USM di sini hari ini.

Azhar memberitahu, dari segi perbezaan, warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit daripada daging babi.

Beliau menammbah, proses berkenaan hanya memakan masa tidak sampai dua jam. - Utusan