Sunday, February 28, 2010

Pemeriksaan gigi di rumah (28/2/10)

Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan melakukan tinjauan kesihatan gigi dan rawatan susulan yang diperlukan golongan dewasa bermula bulan depan dalam usaha merancang program kesihatan gigi lebih baik untuk rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tinjauan dari rumah ke rumah setiap 10 tahun itu membabitkan lebih 14,000 orang berusia 15 tahun ke atas di seluruh negara.

“Pegawai pergigian yang mengetuai pasukan tinjauan itu akan ke rumah yang terpilih dari April hingga Jun ini dan menemubual serta menjalankan pemeriksaan gigi terhadap isi rumah berkenaan.

“Mereka yang memerlukan rawatan gigi dirujuk ke klinik kerajaan terdekat, sementara yang lain, maklumat pergigian mereka disimpan secara sulit,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Gigi 1Malaysia di sini, semalam.

Liow berkata, mengikut tinjauan 2000, golongan dewasa di negara ini tidak mengambil berat penjagaan gigi kerana peratusan mereka yang mengalami kerosakan gigi serta penyakit gusi dan tulang (periodontal) tidak banyak berkurangan dalam tempoh 10 tahun.

“Tinjauan Kesihatan Gigi Negara bagi golongan dewasa pada 2000 menunjukkan 90.3 peratus mengalami kerosakan gigi, berbanding 94.6 peratus pada 1990, sementara 90.2 peratus mengalami penyakit periodental berbanding 92.8 peratus pada tinjauan dilakukan sebelum itu.

“Peratus kerosakan gigi kanak-kanak berusia enam tahun turun daripada 81 peratus pada 1997 kepada 75 peratus pada 2007, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun turun dengan ketara daripada 61 kepada 42 peratus,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesihatan gigi di kalangan masyarakat, kementerian memberi keutamaan kepada pelajar di mana 99.3 peratus pelajar sekolah rendah dan 78.7 peratus pelajar sekolah menengah menerima perkhidmatan penjagaan gigi di seluruh negara pada tahun lalu.

“Kemudahan penjagaan kesihatan gigi dalam sistem penyampaian awam di Malaysia juga berkembang empat setengah kali ganda iaitu dari 398 kepada 2,200 kemudahan sejak empat tahun lalu, menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan gigi lebih mudah didapati oleh rakyat,” katanya.

Liow berkata, kerajaan berharap dapat melatih lebih ramai doktor gigi untuk mencapai sasaran 1 doktor gigi bagi 4,000 pesakit pada tahun 2018, berbanding nisbah 1:8,000 pada masa ini.

No comments:

Post a Comment