Thursday, February 11, 2010

Memudahkan proses: UPM cipta mesin nanas 3 dalam 1

11/02/2010 2:35pm


SERDANG 11 Feb. – Sejajar dengan Tahun Inovasi 2010, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta “Mesin Nanas 3 Dalam 1” yang akan meningkatkan produktiviti produk makanan berasaskan nanas terutama dalam mekanisme pemprosesannya.

Inovasi hasil penyelidikan Dr. Rosnah Shamsudin dari Fakulti Kejuruteraan UPM itu akan memudahkan proses pengupasan kulit dan empulur selain berfungsi sebagai pemotong nanas keping dan kiub.

Mesin nanas yang boleh beroperasi secara manual atau automatik itu akan memberi manfaat besar kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) nanas, antara lain dalam pembuatan jem, kuih muih dan nanas tin.

“’Pineapple-multipeeler’ ini akan menjimatkan tenaga, masa, ekonomik dan selamat untuk digunakan,” kata Rosnah pada sidang media mengenai inovasi itu yang masih di peringkat prapengkomersialan di UPM Serdang di sini hari ini.

Mesin diperbuat daripada besi tahan karat itu siap dalam tempoh setahun pembangunan dan penyelidikan (R&D) bermula 2008 dengan menggunakan dana penyelidikan RM30,000 daripada UPM. – Bernama

No comments:

Post a Comment