Sunday, February 7, 2010

Kerajaan cadang anjur Hari Tunku Abdul Rahman

ALOR SETAR 7 Feb 2010 – Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merancang penganjuran Hari Tunku Abdul Rahman untuk menghayati jasa dan perjuangan Perdana Menteri pertama itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran hari seumpama itu adalah penting kerana masih ramai yang tidak memahami dan menghayati fahaman dan keistimewaan Tunku Abdul Rahman Putra dalam sejarah tanah air.

Katanya, antara pengisian Hari Tunku Abdul Rahman termasuk menganjurkan kuiz, pertandingan esei, pameran dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan dan perjuangan Tunku Abdul Rahman membentuk negara ini.

“Terdapat 15 agensi di bawah kementerian dan daripada itu sebanyak lima agensi adalah yang berkaitan dengan artifak dan sejarah. Kita akan garap kemahiran kelima-lima agensi ini untuk mencari idea (menganjurkan Hari Tunku Abdul Rahman),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Bergerak Koleksi Khas dan Katalog Khas Tunku Abdul Rahman Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata, Hari Tunku Abdul Rahman itu akan diadakan sempena tarikh kemangkatan Tunku Abdul Rahman iaitu pada 6 Disember setiap tahun mulai tahun ini.

Rais berkata, dengan pemilihan hari kemangkatan Tunku Abdul Rahman itu, bermakna selain daripada menganjurkan tahlil dan bacaan Yaasin, kerajaan juga menganjurkan aktiviti memperingati jasa beliau.

Katanya, selain itu kementerian juga meminta institusi pengajian tinggi menganjurkan kajian ilmiah mengenai Tunku Abdul Rahman.

“Setakat ini belum terdapat kajian akademik mengisahkan perjuangan Tunku Abdul Rahman yang begitu banyak memberi sumbangan kepada negara,” kata beliau.

Beliau berkata, masih banyak sejarah Perdana Menteri pertama itu yang belum disingkap dan antaranya kandungan perdebatan pertama Parlimen yang disertai oleh Tunku Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam Parlimen yang sama. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment