Monday, February 15, 2010

2 Taman Halal di Pantai Timur

KUALA LUMPUR 15 Feb 2010 - Pasir Mas di Kelantan dan Gambang di Pahang akan mendapat nafas baru dalam ekonomi apabila kedua-dua bandar di negeri Pantai Timur itu membangunkan Taman Halal.

Pembangunan Taman Halal Pasir Mas dan Taman Halal Gambang sedang dilakukan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan ia akan menyediakan peluang pekerjaan serta manfaat sosio ekonomi yang lain kepada penduduk tempatan.

Menurut kenyataan dikeluarkan, penubuhan Taman Halal tersebut sejajar dengan visi negara untuk menjadi hab halal global dan mengambil kesempatan ke atas peningkatan pembangunan pasaran produk halal global.

''Taman Halal itu juga bagi menarik minat dan membantu peniaga-peniaga bumiputera serta menawarkan perkongsian kemudahan termasuk pusat penyimpanan dan perniagaan.

''Pusat penyimpanan akan dilengkapi dengan kemudahan biasa termasuk makmal. Selain itu, akan bekerjasama dengan program sedia ada untuk menyediakan latihan skil dan perkhidmatan khidmat nasihat teknologi,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, program penyimpanan itu juga menyediakan sokongan teknikal, meningkatkan dan membangunkan skil serta pemasaran.

''Program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk produk perikanan telah diproses kepada meningkatkan kebolehan pengeluaran dan untuk meningkatkan capaian pasaran produk juga akan dibangunkan.

''Inisiatif Taman Perniagaan Industri Halal telah dibincangkan di mesyuarat Kumpulan Fokus Industri dianjurkan oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) untuk mengenalpasti perkara di dalam kajian yang telah dilakukan.

''Sebelum ini ECERDC telah melantik MIGHT untuk menjalankan kajian yang menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat untuk melakukan strategi perniagaan, pemasaran dan melaksanakan program pembangunan industri halal,'' jelasnya.

Dengan dua lokasi telah dikenalpasti oleh ECER bersama dengan kerajaan negeri, MIGHT telah melakukan penilaian kerja-kerja asas dan mengenalpasti strategi meliputi semua perkara terlibat.

MIGHT adalah platform kerjasama industri dan kerajaan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

No comments:

Post a Comment