Friday, February 5, 2010

Bazar Al-Mubarak cabaran umat Islam di Sabah

Oleh HAMDEN RAMLI



Lakaran artis Bazar Al-Mubarak yang dalam pembinaan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 5 Feb 2010 - Usaha kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) membina ruang perniagaan di kawasan masjid merupakan langkah terpuji dan perlu disokong penuh oleh masyarakat khususnya umat Islam.

Selain membuka dimensi baru dalam pembangunan keusahawanan di kalangan umat Islam, langkah itu juga dijangka mampu mengimarahkan lagi masjid yang selama ini hanya terhad untuk melaksanakan ibadat.

Usaha-usaha seumpama itu sudah pasti mampu memberi nilai tambah kepada masjid sebagai institusi penting penyebaran dakwah Islam.

Sebagai permulaan, ruang perniagaan yang akan dikenali sebagai Bazar Al-Mubarak itu akan dibuka di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Majlis pecah tanah sebagai tanda bermulanya projek itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini.

Dengan bercirikan seni bina Islam, bazar yang dijangka menempatkan antara lapan gerai dengan keluasan 896 meter persegi setiap satu itu akan menjual pelbagai barangan keperluan harian selain gerai makanan.

Pengerusi Sedco, Datuk Arifin Mohd. Arif, bazar berkenaan akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, kecuali gerai makan yang mungkin akan dilanjutkan masa operasinya.

"Daripada segi jenis perniagaan ia akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid dan keutamaan akan diberikan kepada jemaah masjid berkenaan untuk berniaga di bazar tersebut," ujarnya.

Katanya lagi, jika berjaya, bazar yang sama akan dibuka di masjid lain di seluruh negeri ini dengan mendahului senarai adalah masjid di Bukit Padang dan Ranau.

Pembukaan bazar itu yang dijangka siap 10 bulan dari sekarang pasti menggembirakan umat Islam di negeri ini. Bagaimanapun di sebalik kegembiraan itu terselit seribu dugaan dan cabaran yang perlu dipikul oleh seluruh umat Islam dalam menjayakan bazar tersebut.

Kejayaan bazar tersebut bukan sahaja akan menyaksikan lebih banyak bazar yang sama dibina di negeri ini tetapi sekali gus mengangkat imej Islam yang terkenal dalam kebijaksanaan dalam dunia perniagaan.

Bayangkan jika bazar yang dibuka itu ketandusan pengunjung ataupun terbiar seperti kebanyakan pusat-pusat niaga bumiputera lain.

Percayalah, jika itu berlaku masyarakat tidak akan melihat kepada pihak lain melainkan kepada kegagalan umat Islam sendiri untuk menjayakan sebuah projek yang bukan sahaja diharapkan memberi kesan daripada sudut ekonomi tetapi meningkatkan amalan dan kesedaran tentang ajaran Islam dan mengimarahkan rumah Allah itu.

Justeru langkah kemas dan teratur perlu disusun bagi menjayakan misi itu. Ia sepatutnya bermula di peringkat awal termasuk dalam soal pemilihan jenis perniagaan yang sesuai dan peniaga-peniaga yang bakal memikul cabaran itu.

Hasrat untuk memberi peluang kepada jemaah di masjid berkenaan peluang berniaga amat murni dan perlu disokong. Bagaimanapun ia perlu disusuli dengan komitmen tinggi peserta terbabit, selain pengalaman dan kekuatan untuk bertahan, apatah lagi menjadi perintis kepada projek ini.

Walaupun, kempen pemasaran dan perancangan strategi akan dilakukan dari semasa ke semasa, ia tidak akan bermakna jika tidak disertai dengan produk dan perkhidmatan yang baik.

Tanpa produk dan perkhidmatan yang baik, pengunjung tidak akan datang ke bazar berkenaan yang akhirnya akan menyebabkan kesan yang tidak ingin kita lihat berlaku.

Apa yang pasti, semua pihak mengharapkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja akan menarik pengguna Islam tetapi mampu menambat hati penganut agama lain datang ke bazar tersebut.

Satu lagi pendekatan yang mungkin boleh difikirkan oleh pengurusan bazar adalah dengan menyewakan salah satu gerai tersebut kepada pengusaha yang sudah mempunyai perniagaan kukuh, dikenali ramai dan jika boleh memiliki jenama terkenal.

Ia mampu menjadi daya penarik yang akan memberi limpahan kepada pengusaha lain, sekali gus menjadi lonjakan kepada usaha memajukan bazar berkenaan khususnya di peringkat permulaan ini.

Dengan berlokasikan kawasan umat Islam beribadat, sudah pasti harapan tinggi diletakkan kepada seluruh umat Islam dan bukannya kepada jemaah masjid itu sahaja sebagai pengunjung.

Ini kerana jika hanya bersandarkan kepada jemaah yang hadir di masjid khususnya ketika solat lima waktu (kecuali solat Jumaat) ia tidak mampu untuk mewujudkan kitaran ekonomi yang produktif.

Oleh itu kehadiran umat Islam lain amat dituntut. Dengan harapan daripada status pengunjung bazar, lama-kelamaan akan berubah menjadi jemaah kepada masjid tersebut.

Malah, itulah harapan semua pihak dalam merencanakan pembangunan ini.

Usaha ini yang dilaksanakan oleh Sedco dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEAINS), sungguh murni.

Sudah pasti sebagai umat Islam kita tidak mahu melihatnya gagal sebaliknya berkembang mekar disulami kejayaan sama ada daripada segi perniagaan, penyebaran syiar Islam dan usaha mengimarahkan masjid.

No comments:

Post a Comment