Wednesday, February 24, 2010

AES dilaksana selepas Mac

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 24 Feb 2010 - Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan secara menyeluruh selepas pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan diluluskan Parlimen Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pindaan itu bertujuan memberi kuasa kepada penguat kuasa untuk mengesan pesalah jalan raya melalui AES.

''Selepas diperhalusi oleh kerajaan dengan membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, AES dijangka akan dilaksanakan secara formal selepas Akta Pengangkutan Jalan dipinda pada sesi Parlimen akan datang.

''Sistem ini dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas, mencegah jenayah dan kes buli jalan raya serta mengelakkan amalan rasuah," katanya di sini hari ini.

Selain berperanan sebagai perangkap kelajuan, AES juga boleh digunakan untuk memantau keadaan trafik di jalan raya serta mengesan aktiviti jenayah.

JPJ sebelum ini dilaporkan mengenal pasti lebih 800 kawasan risiko kemalangan yang sesuai dipasang dengan AES untuk mengurangkan kadarnya.

Tee Keat berkata, AES selepas diperkenalkan akan digunakan secara permuafakatan antara JPJ dan polis untuk pelbagai tujuan.

''Polis bagaimanapun boleh memilih untuk terus menggunakan sistem penguatkuasaan sedia ada atau menggantikan peralatan sedia ada dengan AES," katanya.

Sementara itu, Tee Keat berkata, Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina yang dijalankan selama sebulan bermula 21 Januari lalu berjaya mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini.

''Purata 13 orang meninggal dunia setiap hari akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh kempen berbanding 18 kematian pada hari-hari biasa.

''Sebanyak 201 kematian dicatatkan sepanjang tempoh kempen tahun ini berbanding 212 kematian pada tempoh kempen tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak, sifar kematian untuk penumpang bas telah dicapai sepanjang tempoh kempen itu dijalankan.

''Kita berjaya mengekalkan rekod sama yang dicapai semasa kempen Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu di mana tiada kes kematian melibatkan penumpang bas dicatatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment