Sunday, February 7, 2010

Lesen lulus dalam tempoh 24 jam

MUAR 7 Feb 2010 - Para peniaga kecil yang mahu membuka perniagaan di bandar Muar kini tidak perlu menunggu lama kerana permohonan lesen mereka akan diluluskan dalam tempoh 24 jam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan berkata, jaminan tersebut diberikan pihaknya dalam membantu memudahkan urusan peniaga terutamanya golongan penjaja.

"Menerusi dasar baru yang kita keluarkan tahun ini, permohonan mana-mana lesen perniagaan di kawasan MPM akan diluluskan dalam tempoh 24 jam.

"Dengan kemudahan seperti ini, mereka tidak boleh lagi memberi alasan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata beliau, kemudahan itu terhad kepada perniagaan kecil dan tidak tertakluk kepada perniagaan-perniagaan berisiko tinggi yang membabitkan aspek keselamatan dan alam sekitar.

Jelasnya, pihak MPM yakin perkhidmatan tanpa kerenah birokrasi yang ditawarkan pihaknya itu akan banyak membantu melegakan golongan berpendapatan rendah yang mahu menjalankan perniagaan.

"Sejak pelancarannya pada awal tahun ini, kita telah menerima maklum balas yang begitu menggalakkan terutamanya dalam perniagaan makanan dan pakaian," katanya.

No comments:

Post a Comment