Sunday, February 28, 2010

DiGi akan labur RM100j bagi program Deep Green (28/2/10)

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) akan melabur sehingga RM100 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk program Deep Green iaitu bagi membangunkan opsyen tenaga boleh diperbaharui dalam operasinya.

Pelaburan berkenaan sejajar matlamat syarikat untuk memastikan operasinya dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 50 peratus menjelang 2012.

Operasi DiGi melepaskan gas terbabit menerusi penggunaan tenaga yang sangat tinggi, yang mana bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida di bumi.

Laporan menyebut sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat akan mengatasi sektor penerbangan sebagai penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida ke muka bumi.

Ketua Tanggungjawab Korporat DiGi, Vimal Kumar, berkata syarikat akan membelanjakan peruntukan itu untuk mencari penyelesaian terhadap cara meminimumkan penggunaan tenaga dalam operasinya.

Katanya, program berkenaan akan diperluaskan kepada semua pihak yang merangkumi pekerja syarikat, pengguna perkhidmatannya dan masyarakat umum.

“Kami akan menggerakkan program ini sehingga 2012 yang mana sepanjang tempoh itu DiGi akan membelanjakan antara RM50 juta hingga RM100 juta bagi mencari opsyen tenaga boleh diperbaharui yang sesuai,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Buat permulaan, Vimal berkata syarikat menjalin kerjasama dengan Partners of Communities Organization (Pacos), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan opsyen tenaga boleh diperbaharui di Kampung Lumpagas, Sabah.

Katanya, DiGi membelanjakan RM90,000 untuk membantu Pacos melaksanakan projek mikro hidro di penempatan berkenaan yang kemudian akan dijadikan penyelesaian kepada tenaga boleh diperbaharui.

No comments:

Post a Comment