Tuesday, February 9, 2010

Tambang separuh harga bagi warga emas (9/2/10)

GEORGETOWN: Bermula Isnin depan, warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas akan menikmati tambang separuh harga bagi setiap perjalanan menggunakan bas Rapid Penang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn Bhd, Azhar Ahmad.

Beliau berkata, kadar tambang separuh harga itu bergantung kepada jarak perjalanan penumpang.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan itu juga akan menghentikan penggunaan kad konsesi warga emas secara berperingkat dan warga emas hanya perlu menunjukkan Mykad kepada pemandu bas untuk menikmati potongan harga.



"Seiring dengan pengenalan 1 Nombor Untuk Semua yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari lalu, semua warga emas yang dilahirkan pada 1950 ke bawah akan dapat menikmati kemudahan tersebut tanpa perlu membuat permohonan pemprosesan secara bertulis kepada pihak kami sebagaimana yang dilakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini, Rapid Penang akan menyediakan 10 buah bas tambahan khas untuk laluan utama di Pulau Pinang bermula dari 13 hingga 16 Februari.

"Dengan adanya bas tambahan ini, jumlah keseluruhan bas yang disediakan adalah sebanyak 265," katanya.

Azhar berkata, perkhidmatan bas tambahan itu akan beroperasi melalui tiga laluan utama iaitu dari Teluk Bahang, Air Itam, Bayan Baru menuju ke Pengkalan Weld dan kekerapan bas di ketiga-tiga laluan ini ialah antara lima hingga 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas. - Bernama

No comments:

Post a Comment