Saturday, February 6, 2010

Adzlan azam selesai masalah letak kereta di KT

KUALA TERENGGANU 6 Feb 2010 - Datuk Bandar Kuala Terengganu yang baru dilantik, Datuk Adzlan Mohd. Dagang (gambar) berazam menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta di bandar raya ini terutama di pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Adzlan berkata, ia merupakan salah satu permasalahan yang ingin diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak ia terus berlanjutan.

Katanya, beliau merancang memilih satu kawasan di sekitar bandar raya ini untuk dijadikan tempat letak kereta bagi menyelesaikan masalah itu.

"Saya juga merancang menggalakkan pembinaan beberapa pasar raya di beberapa kawasan di luar pusat bandar bagi mengelak terlalu ramai tertumpu di satu kawasan sahaja.

"Ia akan membantu mengurangkan kesesakan yang kita boleh lihat dengan pembukaan beberapa pasar raya seperti Mydin di Kuala Ibai," katanya ketika ditemui di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini kelmarin.

Adzlan berkata, pada masa sama, beliau merancang untuk membuka satu kawasan deretan kedai yang akan disewa oleh syarikat barangan berjenama.

"Ketika ini, hanya sebuah kedai Levi's sahaja yang dibuka di bandar raya ini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi dalam mewujudkan satu kawasan membeli belah untuk golongan berpendapatan sederhana," katanya.

Beliau berkata, selama ini, golongan berkenaan akan pergi ke Kuantan, Pahang untuk mendapatkan barangan berjenama.

No comments:

Post a Comment