Saturday, February 6, 2010

24 jam bantu masyarakat

IPOH 6 Feb 2010 - Wanita Barisan Nasional (BN) Perak berazam menjadi pasukan pertama sampai ke destinasi untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan pada bila-bila masa.

Sehubungan itu Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata, Wanita BN negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Sayang Wanita BN Negeri Perak.

Menurut beliau, skuad yang pertama seumpamanya dalam Wanita BN itu bertujuan membantu dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan.

"Masyarakat tidak nampak BN bergerak dan membantu masyarakat. Jadi kita mesti bergerak untuk memperlihatkan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.

"Buktikan bahawa kita bukan nak menang dalam pilihan raya sahaja, tetapi juga hendak memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Oleh itu, kita perlu bergabung tenaga di bawah satu bumbung dengan satu suara dan satu impian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO dan Skuad Sayang BN Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak.

Menurut Rusnah, bertemakan 'Jalan-jalan Jumpa Kawan', Skuad Sayang BN akan bergerak mendampingi rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

Jelasnya, sebanyak 50 ahli Skuad Sayang mewakili Wanita BN Perak akan mula bergerak bertemu masyarakat bagi tujuan tersebut.

"Kita juga telah melantik 15 ahli skuad khas yang akan bersedia 24 jam untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

"Sekiranya terjadi sebarang bencana, mereka ini akan menjadi orang pertama yang sampai ke destinasi tersebut dan membantu. Ini janji BN dan kita mahu buktikan BN memang berbakti kepada masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment