Sunday, February 7, 2010

Kod untuk disiplin pengusaha bas diperkenalkan Mac ini (8/2/10)

ALOR SETAR: Lembaga Perlesenan Kenderaan Persekutuan (LPKP) akan menguatkuasakan arahan penubuhan Jawatankuasa Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) dan pelekat aduan pengguna kepada semua syarikat bas ekspres dan teksi bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata bagi pelaksanaan SHE, LPKP akan mula melaksanakan penguatkuasaan peraturan itu dua minggu selepas semua syarikat berkaitan diberi taklimat kefahaman mengenainya pada 23 Februari ini, manakala bagi peraturan pelekat aduan pengguna ia sudah dimaklumkan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan bulan lalu.

Katanya, bagi program SHE, LPKP mengarahkan semua syarikat bas ekspres supaya bersiap sedia menubuhkan jawatankuasa masing-masing dalam hal berkaitan audit dalaman dan polisi merangkumi pengurusan syarikat, kenderaan, pemandu, perjalanan dan risiko serta dokumentasi.



"Program ini diwajibkan kepada semua 224 syarikat bas ekspres dalam negara ini dan ia akan dipantau oleh LPKP dari semasa ke semasa.

"Kita juga akan memberi taklimat mengenai She kepada semua wakil syarikat dalam mesyuarat yang akan belangsung selama dua hari untuk memastikan program ini difahami oleh semua pihak.

"Selepas itu biasanya kita akan bagi masa dua minggu supaya syarikat ini melaksanakan She di peringkat syarikat," katanya pada sidang media selepas majlis interaksi bersama Persatuan Kereta Sewa Perlis & Kedah di sini, hari ini.

Halimah berkata, bagi program pelekat aduan pihaknya sudah memberi masa yang cukup untuk dipatuhi oleh semua syarikat bas, syarikat dan pemandu teksi bagi memastikan ia dilaksanakan sebelum penguatkuasaan bulan depan.

"Melalui program ini pengguna pengangkutan awam sendiri akan menjadi mata dan telinga LPKP dengan memantau setiap kesalahan yang dilakukan.

"Pada pelekat itu akan diletakkan nombor aduan LPKP 1800 88 9600 dan talian aduan sms 1588 yang bakal dibuka 24 jam dalam masa terdekat.

"Selain nombor kita juga bercadang meletakkan beberapa maklumat berkaitan pengguna bagi membolehkan mereka faham dan sedar hak mereka dalam mendapatkan pekhimdatan yang baik seperti dikehendaki kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment