Wednesday, February 24, 2010

Fomca syor sistem kuota petrol (24/2/10)

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem kuota kepada pemilik kenderaan bagi membeli petrol sebagai satu mekanisme penjimatan perbelanjaan subsidi petrol setiap tahun.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Shaani Abdullah, berkata menerusi sistem itu kerajaan hanya perlu menetapkan jumlah petrol yang boleh dibeli oleh setiap pemilik kenderaan pada setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu meletakkan syarat bahawa hanya warga negara yang memiliki kenderaan dibenarkan membeli petrol subsidi dan setiap pembelian perlu disertai dengan menunjukkan MyKad bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat.

“Terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan berapa liter petrol yang boleh dibeli sama ada minimum 100 liter untuk sebulan atau 500 liter atau lebih.

“Fomca berpendapat kerajaan tidak perlu mewujudkan mekanisme remeh-temeh dan merumitkan seperti perlu mengambil kira jumlah bilangan kenderaan pengguna kenderaan dan jumlah pendapatan mereka bagi melaksanakan sistem ini.

“Sewajarnya, kerajaan tidak perlu babitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam melaksanakan sistem subsidi petrol,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Disember lalu, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan sistem subsidi petrol baru menggunakan MyKad mulai Mei tahun ini bagi membolehkan kerajaan berjimat lebih RM2 bilion perbelanjaan subsidi.

Kerajaan kini dalam proses membangunkan sistem itu bagi melancarkan urusan pembayaran untuk petrol baru menggunakan MyKad di semua stesen minyak di Malaysia dan sistem berkenaan dijangka siap April ini untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Mohamad Shaani berkata, menerusi sistem kuota ini, kerajaan juga dapat mendidik rakyat dan pemilik kenderaan untuk menerima kemungkinan subsidi petrol akan dihapuskan pada masa depan.

No comments:

Post a Comment