Monday, February 8, 2010

Program Pagi Bersama Ketua Menteri ke sekolah

Mohd. Ali Rustam menyampaikan hadiah kepada Pelajar Terbaik Aliran Vokasional, Khaliezah Kazimah Khairudin pada Majlis Perhimpunan Pagi Bersama Ketua Menteri di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Bukit Katil, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 8 Feb 2010 - Jika sebelum ini Majlis Perhimpunan Pagi Bersama Ketua Menteri diadakan di Dataran Seri Negeri tetapi hari ini majlis tersebut diberi nafas baru apabila berlangsung di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah (SMTMT), Bukit Katil di sini.

Malah melihat kepada keberkesanan pendekatan tersebut, kerajaan negeri selepas ini berhasrat untuk menganjurkan majlis berkenaan secara lebih kerap di sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, majlis yang diberi nafas baru itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan pimpinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, melalui pendekatan tersebut, kerajaan negeri akan dapat mengetahui masalah yang dihadapi sekolah terbabit dan langkah segera untuk mengatasinya akan dapat dilakukan.

''Usaha kerajaan negeri adalah untuk memperkasakan lagi pencapaian akademik pelajar.

''Selain itu apabila majlis perhimpunan ini diadakan di sekolah bersama ADUN kawasan terbabit, barulah kita tahu apa masalah yang dihadapi," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan agensi kerajaan berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md. Amin; Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu dan Pengetua SMTMT, Abd Aziz Sahat.

Dalam ucapannya, Mohd. Ali menyeru para pelajar sekolah menengah aliran vokasional dan teknik di negeri ini supaya mempunyai sikap ingin meningkatkan kemahiran sekiranya mereka mahu berjaya pada masa depan.

Beliau berkata, tidak ada gunanya sekiranya hanya mempunyai pengetahuan dan kemahiran tetapi tidak disertakan dengan sikap inginkan perubahan ke arah yang lebih baik.

"Untuk seseorang mengecapi sesuatu kejayaan, 80 peratus daripadanya ditentukan oleh sikap manakala 20 peratus lagi adalah pengetahuan dan kemahiran.

"Yang 20 peratus itu tidak akan ke mana sekiranya kita tidak bersikap menjana kemahiran dan pengetahuan ke peringkat yang lebih baik sejajar dengan peredaran zaman," katanya.

Mohd. Ali menambah, para pelajar di peringkat menengah juga harus menanamkan sikap inovasi yang tinggi bagi menyumbang kepada bidang pembuatan negara pada masa depan.

"Tidak perlu tunggu hingga ke peringkat universiti, sebaliknya daripada peringkat sekolah lagi, kita perlu membudayakan cara pemikiran untuk mencipta sesuatu produk.

"Adalah satu kerugian jika kita tidak gunakan ilmu dan kemahiran yang ada untuk berfikir bagi mencipta produk yang mempunyai tempat dalam pasaran," katanya.

No comments:

Post a Comment