Tuesday, February 2, 2010

Jakarta bina tempat khusus demonstrasi (2/2/10)

JAKARTA: Pihak berkuasa ibu negara Indonesia merancang membina sebuah tempat khusus untuk penunjuk perasaan bagi menghindar mereka daripada berhimpun di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di bandar raya paling sesak di dunia itu.

Jurucakap Gabenor Jakarta Fauzi Bowo, Cucu Ahmad Kurnia, berkata tempat itu juga akan menjadi simbol yang menunjukkan bahawa demokrasi sudah pulih di Indonesia. Ketika pemerintahan bekas Presiden Suharto, tunjuk perasaan hampir dilarang sama sekali sehingga kekecewaan rakyat menyebabkan bantahan besar-besaran memaksa beliau meletak jawatan.

Sejak itu, bantahan dan tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di Indonesia. Walaupun ia jarang bertukar ganas, ia memburukkan keadaan lalu lintas yang sedia sesak, terutama apabila mereka berarak di bulatan besar berhampiran Hotel Indonesia.



"Gabenor juga mahu mewujudkan sudut penceramah yang boleh menampung kira-kira 10,000 pengunjung berhampiran Tugu Monumen Nasional Indonesia. Kami mahu membinanya agar setiap orang mempunyai tempat untuk menyuarakan pandangan mereka dan tahu di mana hendak berbuat demikian," katanya.

Istana Presiden, pejabat naib presiden dan gabenor terletak berhampiran tugu di Medan Merdeka itu.

Beliau berkata, tunjuk perasaan sering menyebabkan perjalanan menuju ke pusat bandar raya yang dihuni 14 juta penduduk itu, mengambil masa yang lebih panjang, berikutan jumlah kenderaan terlalu banyak.

Tahun lalu, Fauzi mengharamkan tunjuk perasaan di sekitar Hotel Indonesia selepas pertempuran berlaku antara kumpulan penunjuk perasaan yang bertelagah

Cucu berkata, tempat berkenaan dijangka siap pembinaannya tahun depan, dan akan dilengkapi pentas untuk konsert.

Sementara itu, Datuk Bandar Jakarta, Sylviana Murni, berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menyediakan ruang bagi rakyat mengkritik mereka yang berkuasa.

"Kita mesti berbuat demikian untuk memuaskan hati rakyat," katanya yang menambah pembinaan itu diilhamkan daripada Sudut Penceramah di Hyde Park, London. – Reuters

No comments:

Post a Comment