Saturday, February 6, 2010

UPM, Dutch Lady anjur kajian nutrisi (6/2/10)

KOTA BHARU 6 Feb. - Seramai 16 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program kajian Nutrisi dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad sempena 'Kempen Kesihatan, Sertai Kami' di Bangunan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK) di sini kelmarin.

Para penuntut yang juga ahli Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM) berjaya menarik kira-kira 50 kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun menyertai kajian berkenaan.

Ketua Penyelidiknya, Loh Siow Hon berkata, kajian yang dimulakan tahun lalu itu melibatkan tabiat makan, indikator antropometri dan prestasi kognitif.

Katanya, daripada borang soal selidik yang diberikan, tabiat makan kanak-kanak itu dikenal pasti melalui kefahaman serta pemberian makanan oleh ibu bapa.

"Sikap ibu bapa juga diketahui dalam menentukan pemakanan anak-anak mereka," ujarnya.

Menurutnya, pengukuran antropometri pula melibatkan berat, tinggi serta lilitan pinggang kanak-kanak terlibat.

Katanya, seterusnya jenis makanan yang menjadi kegemaran kanak-kanak itu juga dapat diketahui daripada kajian yang dijalankan itu.

Beliau memberitahu, hasil kajian itu akan dijadikan panduan membentuk program intervensi yang diperlukan.

No comments:

Post a Comment