Friday, February 12, 2010

Sistem semakan status warga asing ditingkat

PUTRAJAYA 12 Feb 2010 - Kerajaan sedang meningkatkan sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu untuk membuatkan warga asing takut tinggal di negara ini secara haram lalu meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

''Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk dan dokumen- dokumen seperti pasport.

''Apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing Kedua di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menafikan anak Raja Petra, Raja Azman, 33, telah diseksa mental dan fizikalnya ketika dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.

Beliau menegaskan, penahanan anak lelaki Raja Petra itu bukan sengaja dilakukan sebaliknya dia sendiri telah mengaku salah di mahkamah atas tuduhan mencuri.

''Sekarang dia berada dalam wad tetapi timbul dakwaan dalam Internet kononnya kata kita tangkap anak Raja Petra dan kita menderanya.

''Saya nafikan sekeras-kerasnya perkara ini," katanya.

Pengendali portal propembangkang Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dalam buruan polis dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Malaysia menggunakan anak lelakinya itu untuk menghukumnya.

Beliau berkata, selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, agenda yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu antaranya adalah pertimbangan dan kajian dasar berhubung pengambilan pekerja asing.

''Ini membabitkan pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi.

''Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia dengan segera.

Tegas beliau, mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Katanya, sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada April 2009.

No comments:

Post a Comment