Tuesday, February 16, 2010

Jakim mahu wujud akta logo halal (16/2/10)

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan akta khusus bagi memantau penggunaan logo halal sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan tindakan lebih berkesan dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pada masa ini Jakim tidak dapat mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal berikutan tiada akta khusus berhubung perkara itu.

Katanya, langkah penguatkuasaan diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan tanda halal termasuk memalsukannya mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 disifatkan kurang berkesan.

"Sebelum ini, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal tetapi tindakan dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Namun, sebaik akta ini wujud, Jakim akan mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pihak tertentu termasuk syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal palsu selain menyalahgunakan logo berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Ke Sekolah SRA 2010 Peringkat Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Guar Chempedak, di sini, semalam.

Katanya, ketika ini tiga agensi termasuk Jakim, Pejabat Peguam Negara dan KPDNKK mengadakan perbincangan berhubung mewujudkan akta berkenaan.

"Sejurus selesai, ia akan dibentang ke kabinet sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

"Kita jangkakan akta itu akan mula dikuatkuasakan sebelum hujung tahun ini. Justeru, saya berharap dengan adanya akta ini penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo halal dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Mengulas mengenai logo halal yang akan diseragamkan, Jamil Khir berkata, hakikatnya logo halal itu sudah diseragamkan sebelum ini, cuma Jakim membenarkan logo halal itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri.

"Selain Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri, logo halal juga dikeluarkan empat syarikat swasta. Namun, ada pihak lain mengeluarkan logo itu tanpa kebenaran Jakim," katanya.

"Justeru, saya menyeru mana-mana syarikat yang ingin memohon mendapatkan sijil halal supaya tidak berurusan dengan pihak yang tidak diiktiraf bagi mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan menggunakan tanda halal palsu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir turut membidas pihak tertentu yang tidak memahami erti sebenar sambutan Maulidur Rasul.

"Sambutan Maulidur Rasul tidak boleh dilihat dalam pengertian hari kelahiran sahaja, apatah lagi ada pihak yang cuba menyamai kelahiran Rasulullah seperti menyambut hari lahir .

"Menyambut Maulidur Rasul bukan bererti menyambut hari lahir Baginda, sebaliknya menghayati pengajaran dan sejarah di sebaliknya untuk mendalamkan rasa cinta terhadap Rasulullah dalam semua amalan dan sifatnya," katanya.

No comments:

Post a Comment