Saturday, February 6, 2010

Fama perkenal peniaga pasar tani bermotosikal (6/2/10)

JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperkenalkan peniaga pasar tani bermotosikal sebagai langkah alternatif untuk memasarkan produk pertanian dalam skala lebih kecil.

Melaluinya, Fama menyasarkan dapat mewujudkan 100 peniaga pasar tani yang akan menggunakan motosikal roda tiga itu tahun ini, dan jumlahnya akan ditambah menjelang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, berkata menerusi penggunaan motosikal, peniaga pasar tani ini boleh pergi ke serata tempat sama ada untuk menjual produk mereka atau membeli daripada pekebun kecil di seluruh pelosok kawasan yang ada kala sukar untuk sampai dengan kenderaan lain.



“Pada masa lalu, kita susah nak jual tetapi dengan adanya konsep ini kita boleh memasarkan hasil dengan lebih baik serta mampu menambah nilai produk dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Pasar Tani Larkin di sini, semalam.

Mohamed Shariff berkata, pada peringkat permulaan pihaknya merancang untuk mewujudkan 100 peniaga pasar tani bermotosikal dengan memberikan bantuan sebuah motosikal roda tiga bernilai RM7,000 kepada peniaga yang berminat dan dikenakan bayaran ansuran mengikut kemampuan mereka.

“Kita mahu mereka menjadi peniaga sepenuh masa, mereka boleh membawa dan menjual produk mereka ke kedai rakyat dan pasar tani yang diwujudkan Fama,” katanya.

Mengenai Pasar Tani Karavan yang diwujudkan sebelum ini, Mohamed Shariff menjelaskan setakat ini, sudah ada 30 peniaga menjalankan konsep yang diperkenalkan sejak dua bulan lalu itu dan beliau berharap dapat menambah jumlah berkenaan kepada 100 buah karavan menjelang hujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment