Saturday, February 6, 2010

Lebih RM6.5j pulih 1,918 hektar sawah padi terbiar

PAPAR 6 Feb 2010 - Kerajaan negeri telah berjaya memulihkan 1,918 hektar kawasan tanah sawah terbiar di negeri ini sejak empat tahun lalu melibatkan 1,246 pesawah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, usaha yang dilakukan dalam tempoh empat tahun itu melibatkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM6.5 juta.

"Jumlah berkenaan yang merupakan pencapaian kumulatif dari 2006 hingga 2009 merupakan usaha proaktif kerajaan memulihkan tanah sawah terbiar yang sudah lama tidak produktif.

"Jadi kita berharap usaha kerajaan ini akan dapat membantu penduduk kampung mengusahakan tanah sawah mereka seterusnya meningkatkan taraf hidup," katanya selepas melawat kawasan pemulihan sawah di Kampung Langkawit dekat sini hari ini.

Menurut Yahya, kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha memulihkan sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini.

Katanya, usaha pemulihan sawah terbiar meliputi pembersihan kawasan, penyediaan parit serta bantuan peralatan, baja dan benih padi kepada petani.

No comments:

Post a Comment