Monday, February 8, 2010

Guna karavan lebih praktikal, mampu tingkat pendapatan (8/2/10)

Mohamed Shariff (dua dari kiri) menunjukkan pisang tanduk yang dihasilkan oleh petani pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-25 Peringkat Negeri Johor di Lakin baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 8 Feb. - Peserta pasar tani disaran menggunakan karavan kerana ia lebih praktikal serta mampu meningkatkan hasil jualan.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamed Shariff Abd. Aziz berkata, dengan menggunakan karavan, mereka boleh menjual pelbagai barangan seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan sekali gus.

"Ia juga lebih bersih dan kemas. Peserta juga boleh membawa dan menjual pelbagai barangan dalam satu karavan berbanding hanya satu barang saja dengan menggunakan khemah pada masa ini," katanya selepas merasmikan Sambutan 25 Tahun Pasar Tani Larkin di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri (nota: nama memang seperti ditulis). Pasar Tani Larkin yang ditubuhkan pada 31 Januari 1985 merupakan pasar tani pertama di negara ini.

Beliau berkata, FAMA menyasarkan dapat menggalakkan 100 peratus pesertanya menggunakan karavan pada 2012.

Menurutnya, pada masa ini hanya 30 daripada kira-kira 18,000 peserta pasar tani di seluruh negara telah menggunakan karavan. Enam daripada peserta tersebut adalah dari Johor.

Mohamed Shariff berkata, dengan menggunakan karavan, para peserta juga mudah bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain membawa dan menjual barangan dan sekali gus dapat meningkat pendapatan mereka.

Selain itu, FAMA juga mewujudkan Kedai Rakyat dan perkhidmatan roda tiga untuk membeli pelbagai barangan keluaran masyarakat yang kemudiannya dijual di Kedai Rakyat.

Beliau berharap dapat mewujudkan 100 perkhidmatan roda tiga pada tahun ini untuk menyokong hasil jualan di Kedai Rakyat.

"Setiap roda tiga, FAMA memperuntukkan RM7,000 yang dibayar secara ansuran dan mengikut kemampuan peserta," katanya.

No comments:

Post a Comment