Friday, February 5, 2010

Maran wujud program pemutihan e-Kasih

MARAN 5 Feb. - Pejabat Daerah Maran telah mewujudkan Program Pemutihan Data Orang-orang Miskin e-Kasih bagi mengatasi masalah pertindihan senarai penerima bantuan kebajikan di daerah ini.

Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh berkata, program pemutihan itu akan memastikan hanya penerima yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan.

Beliau berkata, sebelum ini wujud keraguan apabila senarai penerima bantuan terlalu ramai sehingga mendorong pihaknya melaksanakan program itu yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Pahang.

"Usaha murni ini selaras dengan arahan dan keputusan kerajaan supaya setiap daerah hanya menggunakan satu senarai kemiskinan sahaja iaitu data e-Kasih.

"Ia bagi membolehkan hanya golongan yang benar-benar layak diberikan bantuan," katanya pada majlis makan malam sempena meraikan petugas program e-Kasih peringkat daerah di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Fadzilla berkata, gerak kerja pemutihan e-Kasih peringkat daerah sebenarnya telah dijalankan pada 12 hingga 20 Januari lalu.

Menurut beliau, hasil kerjasama daripada wakil-wakil rakyat, ketua kampung, penghulu, pegawai Unit Pembangunan Luar bandar dan Jabatan Perangkaan negeri, pihaknya telah berjaya mengesan penerima yang benar-benar layak untuk diberikan bantuan.

Katanya, maklumat peribadi penerima bantuan yang didaftarkan dalam data e-Kasih adalah tepat dan menyeluruh kerana mereka dinilai daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan bilangan isi rumah yang ditanggung pada satu-satu masa.

Sementara itu, Tan Mohd. Aminuddin menghargai usaha Pejabat Daerah Maran itu kerana ia secara langsung membolehkan urusan memberi bantuan kepada golongan sasar dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berjihad untuk membendung dan mengatasi kemiskinan tegar sejajar dengan peningkatan taraf hidup rakyat sekarang.

No comments:

Post a Comment