Monday, February 8, 2010

NASIONAL Pejabat Sultan Selangor dianugerah sijil ISO (8/2/10)

KLANG: Pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah, semalam, mencatat sejarah menjadi pejabat pertama seumpamanya mendapat pensijilan MS ISO 9001:2008 bagi pengurusan dan pengendalian istana daripada Sirim QAS International Sdn Bhd.

Pensijilan itu diberikan untuk tiga aspek utama organisasi Istana Alam Shah iaitu pengurusan hal ehwal pentadbiran dan santapan Sultan Selangor; pengurusan pentadbiran serta pengurusan adat istiadat Istana Alam Shah.



Pejabat Sultan Selangor dianugerahkan pensijilan berprestij itu selepas diaudit oleh dua pegawai Sirim QAS International Sdn Bhd pada 23 dan 24 Disember lalu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pensijilan ISO itu daripada Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahaya Ahmad pada satu majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah di sini.

Turut hadir, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Zakaria Abdul Rahman dan Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj.

Dalam ucapannya, Zakaria berkata, dengan penganugerahan ISO itu, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan atau swasta yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Penganugerahan ini sekali gus menafikan tanggapan yang menyatakan pentadbiran istana selama ini hanya menjalankan tugas dengan berselindung di atas titah Tuanku tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata sehingga kini, 4,793 syarikat dan organisasi di Malaysia menerima pensijilan ISO 9001, satu piawaian yang menentukan komponen khusus sistem pengurusan bermutu.

Proses audit memastikan organisasi atau syarikat berkenaan mempunyai sistem diperlukan bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment