Thursday, March 4, 2010

Sentral: Tabung Wakaf RTK dilancar (4/3/10)

Oleh Nurhasyima Hasim
3,000 lot dijual bagi kumpul dana beli rumah tampung 120 penghuni

KUALA LUMPUR: Selepas 11 tahun menyewa dua rumah bagi memberi perlindungan dan menempatkan golongan memerlukan, Rumah Titian Kasih (RTK) semalam, melancarkan Tabung Wakaf RTK bertujuan mengumpul dana melalui jualan lot wakaf bagi membeli sebuah rumah untuk 120 penghuninya di sini.

Pengasas RTK, Sharifah Adlan, berkata RTK menyediakan 3,000 lot wakaf untuk dijual kepada orang ramai pada harga RM1,000 bagi setiap lot yang diharapkan dapat menampung bayaran pembelian tapak dan rumah bernilai RM2.7 juta yang selama ini disewa di Persiaran Titiwangsa, berhampiran Tasik Titiwangsa di sini.

“Bagaimanapun, RTK tetap menerima sumbangan bawah RM1,000 daripada mereka yang berminat. Sementara itu, mereka yang membeli lot wakaf berharga RM1,000 akan diberikan sijil untuk potongan cukai. Pembelian rumah ini sudah lama dirancang bagi mengelak daripada terus membayar sewa rumah yang tinggi setiap bulan.

“Selain itu, RTK turut mengambil kira keperluan perbelanjaan untuk penghuni berikutan pertambahan penghuni di dua rumah perlindungan berkenaan. Justeru, kami amat mengharapkan sokongan rakyat Malaysia yang prihatin bagi merealisasikan niat murni ini.

“Orang ramai yang berminat membeli lot wakaf berkenaan boleh menyalurkan terus sumbangan kepada Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan Titian Kasih Kuala Lumpur melalui akaun Maybank bernombor 564061002172.

“Mereka yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi saya di 019-6455769 atau Penasihat RTK, Md Salleh Abd Hamid di talian 013-3793532,” katanya.

Sharifah menjelaskan, buat masa ini, RTK tidak menerima sebarang bantuan tetap termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya bergantung kepada sumbangan pihak korporat dan individu yang bersimpati.

“Jika pembelian rumah ini berjaya, sekurang-kurangnya RTK akan dapat menggunakan wang yang selama ini dikhaskan bagi membayar sewa rumah untuk perkara lebih memerlukan.

“Ia juga diharap dapat mengembangkan potensi RTK sebagai pusat perlindungan utama di ibu negara untuk kanak-kanak dan anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal beragama Islam yang kurang bernasib baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment