Monday, March 29, 2010

Penginapan ala-tentera tarikan pelancong ke PD

29/03/2010 4:13pm

SEREMBAN 29 Mac 2010 – “Barrack Stay” atau penginapan ala-tentera di salah sebuah kem lama di Port Dickson (PD) akan menjadi tarikan utama untuk pelancong datang ke Bandar Tentera Darat itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penginapan itu merupakan salah satu daripada tiga elemen terpenting untuk menonjolkan PD sebagai bandar tentera yang mempunyai tarikan pelancongannya yang tersendiri.

Tiga elemen itu ialah pembangunan, kandungan dan atur cara, katanya.

"Kita belum sampai ke tahap untuk membenarkan orang ramai menembak senjata api seperti yang ada di luar negara. Yang penting kita mulakan dulu dengan mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap PD,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan PD bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada konsep penyewaan senjata api dan kereta perisai untuk orang awam seperti yang wujud di Vietnam dan Ukraine akan disertakan bersama pakej “Barrack Stay” itu.

Dari segi pembangunan, Muzium Tentera Darat di PD akan dibangunkan semula, malahan satu kawasan “boulevard” akan dibina dari bangunan itu sehingga ke kawasan tepi laut melepasi zon ketenteraan di sekitar muzium tersebut, katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment