Wednesday, March 3, 2010

Kerja komuniti langsai hutang

Oleh AZIAN AZIZ
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 3 Mac 2010 - Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor yang mempunyai tunggakan sewa melebihi RM3,500 pada 31 Disember lalu kini mempunyai pilihan untuk melangsaikan tunggakan tersebut.

Pilihan itu ialah melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat di komuniti mereka.

Kerja khidmat masyarakat itu dibahagikan kepada empat syif dengan setiap syif memakan masa selama empat jam dan penghuni yang terlibat perlu melakukan kerja sebanyak tiga syif bagi melunaskan bayaran sewa untuk sebulan.

Kerja khidmat masyarakat yang ditawarkan ialah mengendalikan pusat penerangan dan aduan setempat, pemantauan kejiranan, mengendalikan kelas kemahiran atau pendidikan kepada komuniti dan program pengawasan harta awam.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, tidak semua penghuni layak untuk menyertai program yang baru diperkenalkan itu.

Menurutnya, golongan yang layak ialah penghuni yang berpendapatan kurang daripada RM720 sebulan, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

"Mereka yang tidak termasuk dalam kumpulan itu perlu membayar tunggakan sewa seperti biasa," jelasnya di sini hari ini.

Beliau berkata, penghuni yang terlibat boleh memilih jenis khidmat yang hendak dilakukan serta waktu syif yang sesuai mengikut kelapangan masing-masing sehingga tunggakan selesai.

Iskandar berkata, program tersebut diharap dapat mendidik rakyat supaya lebih bertanggungjawab, di samping dapat meningkatkan aktiviti komuniti di PPR terlibat.

Berdasarkan rekod, katanya, terdapat lebih 3,000 penghuni PPR di empat kawasan di Selangor iaitu Taman Putra Permai, Kota Damansara, Kampung Baru Hicom dan Serendah, Rawang mempunyai tunggakan sewa yang berjumlah RM4.2 juta sehingga kini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis untuk kerja-kerja khidmat masyarakat tersebut di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang pada 1 April ini.

"Sekiranya program itu berjaya, ia akan dikembangkan ke PPR lain," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment