Monday, March 1, 2010

Sentral: PDN teruskan operasi unit bergerak (1/3/10)

KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) akan meneruskan operasi unit bergeraknya di sekitar Lembah Klang dan Selangor bermula semalam hingga 28 Februari ini.

Inisiatif itu untuk memudahkan orang ramai menderma darah bagi menampung bekalan darah di hospital yang memerlukan.

Antara tempat terpilih bagi menderma darah semalam ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Ukur Bahan Kontrak, Menara Tun Ismail Jalan Raja Laut bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan Kem Paya Jaras Sungai Buloh bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

Unit bergerak PDN berkenaan akan beroperasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak juga mulai semalam hingga 25 Februari, manakala di Universiti Industri Sains Selangor (Unisel) di Bukit Tagar, Batang Berjuntai dari semalam hingga 24 Februari. Operasi berkenaan akan dimulakan pada jam 9.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang.

Hari ini ia diadakan di Perbadanan Putrajaya Persint 8; Sungei Wang dan Hospital Selayang bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, unit bergerak itu kemudian ke Kuala Lumpur Metropolitan Jalan Raja Laut; Tingkat 7 Bangunan Kumpulan AMBank Jalan Raja Chulan; RHB Bank Bandar Baru Bangi dan Menara Wawasan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jalan Raja Abdullah, esok bermula 9.30 pagi hingga 5 petang.

Pada 25 Februari pula, ia akan beroperasi di Tan Chong Motor Rawang pada jam 3 petang hingga 6 petang; Universiti Pengurusan Sains Shah Alam pada jam 9 pagi hingga 4 petang; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Kuala Lumpur pada jam 10 pagi hingga 4 petang dan Citibank Ampang pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

Unit bergerak itu akan menyambung operasi mereka pada 26 dan 27 Februari di masjid serta Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar Lembah Klang dan Selangor bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pada 28 Februari, ia akan beroperasi di tiga tempat iaitu berhampiran Stadium Tasik Titiwangsa bermula jam 10 pagi hingga 2 petang; Pusat Perubatan Forrest, Taman Usahawan Kepong pada jam 9 pagi hingga 3 petang dan Jaya Jusco Cheras Selatan bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, orang ramai juga turut dialu-alukan untuk menderma darah di PDN yang memulakan operasinya setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 7.30 pagi.

No comments:

Post a Comment