Thursday, March 4, 2010

Cadang perlindungan insurans guru pedalaman

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran yang akan mengambil kira pengalaman golongan guru yang berkhidmat di pedalaman untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, para guru yang berkhidmat di luar bandar mempunyai pengalaman luas dan mereka berhak menerima kenaikan pangkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mahu insentif lain dipertimbangkan untuk menggalakkan golongan guru berkhidmat di kawasan luar bandar.

"Kerajaan boleh memperkenalkan perlindungan insurans khas bagi golongan yang berkhidmat di kawasan pedalaman. Insentif itu bukan untuk semua tetapi mereka yang terpaksa menggunakan bot atau tinggal di kawasan berisiko tinggi.

"Insentif tambahan ini mungkin akan menggalakkan para guru untuk bekerja di kawasan luar bandar dan memberi pengajaran terbaik kepada pelajar di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengumumkan pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain termasuk tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Tambah Yim Pheng, bagaimanapun pihaknya sedar terdapat kakitangan awam lain yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan berisiko tinggi.

"Oleh itu, kami tidak akan memaksa kerajaan untuk melaksanakan insentif perlindungan insurans khas terhadap golongan guru.

"Setakat ini, kerajaan telah membuat yang terbaik untuk kebajikan para pendidik dan kami sangat menghargainya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment