Saturday, March 13, 2010

Portal U-Library dilancar Julai ini

2010/03/13
KUALA LUMPUR: Penggemar buku mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke perpustakaan untuk meminjam buku tidak lama lagi apabila portal U-Library bakal diperkenalkan untuk membolehkan pinjaman buku dibuat secara dalam talian.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, berkata projek perintis dalam proses pendigitalan bahan bacaan itu akan dilancar Julai ini, membabitkan tujuh perpustakaan awam.

Perpustakaan terbabit ialah PNM, Perpustakaan Awam Selangor, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan Intan Bukit Kiara, Perpustakaan Awam Pahang dan Pustaka Negeri Sarawak.

Beliau berkata, portal itu akan menyenaraikan senarai buku yang boleh dipinjam melalui dalam talian selain senarai buku yang terdapat di tujuh perpustakaan terbabit. "Pengguna di seluruh negara boleh mendapatkan bahan bacaan tanpa perlu ke perpustakaan dan bahan bacaan itu akan dihantar ke rumah mereka melalui pos," katanya pada sidang media selepas melancarkan “Program ABC: Mari Membaca 1Malaysia” di sini, hari ini.

Raslin berkata, kos pos laju akan ditanggung oleh peminjam buku berdasarkan berat buku. Beliau berkata, liputan kemudahan portal U-Library itu akan disediakan di semua perpustakaan awam yang lain selepas dua tahun tempoh percubaan.

"Kita mahu mudahkan pengguna terutama yang minat membaca, dan sekarang pun sudah menjadi trend orang menggunakan online untuk pelbagai urusan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment