Monday, March 8, 2010

Sentral: Pantau kawasan panas (9/3/10)

Polis Kuala Lumpur cadang 47 balai di lokasi tumpuan

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur bercadang mewujudkan 47 balai polis berbanding 18 yang sedia ada dalam mempertingkatkan usaha untuk memerangi jenayah.

Sebanyak 20 balai polis komuniti di sini akan dinaik taraf menjadi balai sepenuhnya sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mat.

Selain itu, pihaknya turut memohon penambahan sembilan lagi balai polis, katanya kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat di kawasan panas di Alam Damai, Cheras di sini, semalam.

"Permohonan sudah dihantar ke Bukit Aman sebelum dilanjutkan ke peringkat kementerian, namun kita tidak mahu menaik taraf dari segi fizikal balai saja, ia diharapkan dapat disertakan dengan kemampuan dan penambahan keanggotaan," katanya.

Penambahan balai polis itu, katanya, menjadi sebahagian usaha polis bagi mengurangkan kadar jenayah dengan meningkatkan kehadiran polis.

Sehingga kini, katanya terdapat 18 balai di Kuala Lumpur yang dibahagikan kepada tiga gred iaitu gred A dengan keanggotaan seramai 140 orang, Gred B dengan 130 keanggotaan dan Gred C dengan 100 keanggotaan.

Sementara balai polis komuniti pula hanya diketuai oleh seorang anggota berpangkat sarjan dengan tujuh anggota.

Abu Samah berkata, bagi memenuhi keperluan masyarakat yang berkehendakkan lebih banyak balai polis terutama di kawasan perumahan mereka, polis KL akan menempatkan balai polis di lokasi terpilih terutama di 11 kawasan panas.

Sehingga kini kita mempunyai 11 balai bergerak di Kuala Lumpur dan kita sedang memohon untuk menambah 11 balai polis bergerak untuk ditempatkan di kawasan hot spot (panas)," katanya.

Sementara itu, Jelaing turut bertemu dengan penduduk dan Rukun Tetangga Alam Damai dan taman sekitar kawasan tersebut.

Katanya Alam Damai yang menjadi salah satu daripada 11 kawasan panas di Kuala Lumpur turut menunjukkan penurunan kadar jenayah sebanyak 45 peratus sejak September tahun lalu.

"Ini antara tanda positif dan kita harap keadaan ini akan berterusan sampai bila-bila termasuk di kawasan-kawasan lain yang tersenarai di Kuala Lumpur," katanya.

Selain Alam Damai, Taman Midah, Taman Connaught dan Bandar Permaisuri juga adalah kawasan panas yang diletakkan di bawah seliaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Turut tersenarai ialah Bukit Bintang dan Jalan Pudu yang terletak di bawah IPD Dang Wangi, Brickfields dan Kuchai Park di bawah IPD Brickfields, dan, Jinjang Utara, Metro Prima Kepong dan Danau Kota di bawah IPD Sentul. - Bernama

No comments:

Post a Comment