Thursday, March 4, 2010

Thailand tawar pelancong insurans

Pelawat asing dilindungi kerana krisis politik

BANGKOK: Thailand menawarkan perlindungan insurans bernilai AS$10,000 (RM34,000) kepada sesiapa yang terjejas dalam rusuhan dan demonstrasi termasuk pelawat asing dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara itu berikutan krisis politik tempatan.

Tawaran lain termasuk semua bentuk yuran visa secara percuma hingga potongan cukai lapangan terbang.

"Langkah berkenaan bertujuan menyokong industri pelancongan. Keadaan sudah pulih tetapi perniagaan masih lagi perlukan bantuan," kata jurucakap kerajaan Thailand, Panitan Wattanayagorn awal minggu ini.

Thailand dilanda krisis politik selepas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera 2006. Lebih banyak demonstrasi dijadualkan bagi penyokongnya pertengahan bulan ini.

Pada 2009, bilangan pelancong merosot kepada 14.1 juta, kira-kira lapan peratus penurunan daripada tahun sebelumnya manakala pendapatan hanya dicatatkan sebanyak 527 bilion baht (AS$16 bilion), kira-kira tiga peratus penurunan daripada 2008. Pelancongan adalah punca pendapatan mata wang asing utama negara itu.

Perlindungan insurans percuma selain langkah penggalakan pelancongan lain diperkenal selepas dua lapangan terbang utama Bangkok diambil alih penunjuk perasaan pada lewat 2008 menyebabkan beratus ribu pelancong terkandas.

Jurucakap Kementerian Sukan dan Pelancongan, Vachara Kannikar, berkata perlindungan insurans sebanyak $10,000 itu dilanjutkan sehingga akhir tahun dan layak kepada semua pelawat asing yang pernah mengalami kehilangan atau kerugian akibat masalah politik berkenaan termasuk kematian, kecederaan atau kecacatan.

Mangsa juga akan menerima rawatan perubatan percuma dan pampasan sebanyak AS$1,000 (RM3,400) sehari jika dimasukkan ke hospital selama lebih 10 hari.

Pelancong yang berhadapan dengan penangguhan perjalanan disebabkan rusuhan dan demonstrasi akan diberikan AS$100 (RM340) sehari. Tetapi, jumlah berkenaan dan tempoh tinggal di hospital tidak boleh melebihi jumlah keseluruhan sebanyak $10,000.

Pelancong semua kerakyatan akan diberikan pelepasan yuran visa sehingga Mac 2011, kata Vachara, sambil menambah bahawa ia mungkin akan menjadi satu dasar. – AP

No comments:

Post a Comment