Oleh Sariha Mohd Ali, Hussain Saad dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my
2010/04/01
Peraturan diperkenal tahun ini galak amalan sihat di pasaran
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Akta Persaingan pada tahun ini bagi mengurangkan amalan kartel dan monopoli sesuatu kaum dalam perniagaan tertentu bagi membolehkan semua kaum bersaing secara sihat dan adil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian kini sedang dalam peringkat akhir untuk membentangkan Rang Undang-undang Persaingan dalam sesi Parlimen kali ini. “Pengenalan akta ini akan merangkumi peraturan bagi memastikan persaingan sihat wujud di dalam pasaran, sekali gus merancakkan lagi suasana perdagangan di dalam negeri.
“Akta ini juga akan memastikan amalan antipersaingan dapat diatasi dan menjamin hak pengguna secara keseluruhan tanpa mengira kaum,” katanya menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, semalam.
Ismail Sabri berkata, undang-undang itu juga akan mengandungi peraturan untuk mengambil tindakan terhadap perjanjian antipersaingan seperti penetapan harga, pembidaan, pembahagian pasaran dan salah guna kuasa pasaran.
Katanya, Suruhanjaya Persaingan juga akan diwujudkan bagi melaksanakan undang-undang itu.
“Undang-undang ini diperkenalkan sebagai langkah persediaan kepada perusahaan tempatan menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi selain hendak meningkatkan daya saing industri Malaysia pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting, undang-undang ini bersesuaian dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan kerajaan bagi memacu ekonomi negara yang menitik berat prinsip inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.
Sementara itu, katanya, Akta Hak Cipta 1987 akan dipinda tahun ini bagi memperluaskan kuasa tribunal kepada pengguna dan pemilik karya hak cipta untuk membawa sebarang masalah mengenai isu royalti kepada Tribunal Hak Cipta.
Katanya, pindaan Akta Hak Cipta 2010 juga memberi kuasa kepada menteri untuk memantau dari semasa ke semasa aspek royalti, pengagihan dan menyelesaikan sebarang pertelingkahan penggunaan karya hak cipta.
“Akta ini sudah 20 tahun tidak dikaji semula dan saya anggap sudah sampai masa kadar royalti perlu dikaji juga,” katanya.
Berhubung konsep 1Komuniti, 1Koperasi (1K1K), Ismail Sabri berkata, sebanyak 307 koperasi berasaskan konsep itu diwujudkan membabitkan 73,681 ahli yang memiliki modal sebanyak RM33.5 juta, aset berjumlah RM307.5 juta dan pulangan RM17 juta.
Wednesday, March 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment