Thursday, March 4, 2010

Konsep PDRM diperluas

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperluaskan konsep 'Berhenti dan Bercakap' bagi mengurangkan rasa tidak selamat orang ramai terhadap jenayah di lokasi tumpuan umum dan lokasi-lokasi panas di negara ini.

Melalui pendekatan itu, setiap anggota polis yang bertugas di lokasi-lokasi panas akan berhenti untuk bercakap dengan orang ramai bagi mengenal pasti masalah mereka atau maklumat mengenai jenayah.

Konsep itu dilancarkan pada 8 Januari lalu dan menyasarkan lokasi panas yang dikenal pasti di sekitar ibu negara, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Menurut Penolong Pengarah Gerakan Pengawal Pengiring Bukit Aman, Supritendan Mohd. Anuar Osman, langkah itu melibatkan sesi dialog antara polis dan masyarakat selama 20 hingga 30 minit di setiap lokasi.

Katanya, anggota polis peronda akan berhenti di lokasi-lokasi tersebut dan menjemput orang awam seperti pejalan kaki dan pengguna motosikal untuk berinteraksi.

"Orang ramai juga boleh menyemak saman trafik, rekod kesalahan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen atau perkhidmatan lain yang disediakan.

"Selain itu, orang ramai boleh juga menyalurkan sebarang maklumat berhubung jenayah di kawasan mereka terus kepada anggota-anggota polis peronda yang ditugaskan," katanya ketika ditemui di lokasi program itu yang dilancarkan berdekatan stesen monorel Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Jelas Mohd. Anuar, langkah tersebut dilihat berupaya mengurangkan kadar jenayah jalanan di lokasi-lokasi panas selain mewujudkan rasa selamat di hati orang ramai dengan kehadiran pihak polis.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini amat baik dan ia akan diteruskan sebagai program tetap pasukan polis peronda.

No comments:

Post a Comment