Wednesday, March 3, 2010

Siri Program Pencipta Muda TPM bermula

PENGURUS Kanan Teknologi Maklumat Teknology Park Malaysia (TPM), Aminuddin Ahmad (tengah) bersama peserta pencipta muda yang berjaya menamatkan kursus sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 di Dewan 2020, Kangar baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------


KANGAR 2 Mac 2010 - Siri penjelajahan Program Pencipta Muda oleh Technology Park Malaysia (TPM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini baru-baru ini, menyaksikan kejayaan rekacipta inovasi baru telefon bimbit oleh gabungan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Kumpulan Radiation yang dianggotai Nur Afiqah Idris, Syaed Syawal Mustaqim, Ahmad Zulhilmi Mohamad dan Mohamad Syahmi Rodzi muncul johan melalui hasil ciptaan telefon bimbit yang mempunyai sistem keselamatan kawalan suara dan cap jari.

Sistem kawalan suara dalam telefon itu mampu mengawal aplikasi telefon itu sendiri selain mempunyai peranti kesihatan yang dapat memberitahu pengguna tentang suhu badan, tekanan darah, berat badan dan tekanan darah.

Pemenang kedua ialah kumpulan Coarge-i yang dianggotai oleh Mohd. Aswad Abd. Rahman, Nur Asykin Izhar, Majidah Mohd. Azam dan Izatul Arina Hasan Basri melalui ciptaan telefon bimbit.

Alat itu mampu bertindak sebagai penggera kereta dan mengesan kenderaan yang hilang selain boleh memberi maklumat seperti peranti sistem penentu global (GPS) kepada pemilik telefon tersebut.

Kedua-dua kumpulan itu memenangi set telefon bimbit dan sijil penghargaan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Mohamad Zaibid Zainal pada majlis penutup Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) peringkat Zon Utara di Dewan 2020 di sini baru-baru ini.

Program Pencipta Muda itu berjaya menghimpunkan sebanyak 40 pelajar dan mahasiswa dari seluruh Perlis, bertujuan menggalakkan penjanaan minda kreatif di kalangan pelajar agar menjadi individu yang kreatif dan inovatif serta mampu melahirkan idea inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ia juga memberi peluang kepada pencipta muda mencipta dan melahirkan produk inovatif berdasar konsep menggunakan teknologi paling mudah dalam mereka cipta produk inovatif.

Pada hari pertama program tersebut, para pelajar dan mahasiswa diberi pendedahan untuk mempelajari teori dan kajian kes serta aktiviti kumpulan.

Kajian kes itu disampaikan oleh Zirtopia, WIZE Mobile dan Nexviv tentang inovasi dalam Market Mobile, Mobile TV dan Mobile Phone.

Program di negeri ini merupakan yang pertama daripada empat siri Program Pencipta Muda.

Objektif program tersebut adalah untuk memberi pendedahan awal mengenai penciptaan inovasi asas, melatih pelajar menjadi lebih kreatif dan inovatif dan menggalakkan pemahaman dan penguasaan teknik rekacipta.

Selain itu ia bertujuan melatih pelajar untuk menghasilkan prototaip, memberi landasan kepada pelajar mempamerkan penghasilan produk serta memberi pendedahan mengenai penggalakkan pengkomersialan hasil produk yang inovatif.

No comments:

Post a Comment