Tuesday, March 23, 2010

SPRM guna sms Frenz of MACC salur maklumat

2010/03/23
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) "Frenz of MACC" dalam usaha menyalurkan maklumat serta pandangan bagi membanteras kegiatan rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata menerusi "Frenz of MACC" maklumat disalurkan menerusi "key communicator" yang pada masa ini terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta pengurusan jabatan, kementerian dan media.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 1,000 "key communicator" di seluruh negara dan jumlah keahlian dijangka meningkat kepada 5,000 orang pada akhir tahun ini. "Frenz Of MACC akan diletakkan di bawah Pejabat Ketua Pesuruhjaya dan kami harap selepas ini seandainya kami menghadapi krisis kita akan dapat menanganinya dengan lebih mudah dengan adanya sokongan daripada masyarakat khususnya anggota Frenz Of MACC," katanya pada majlis makan tengahari dan pelancaran "Friends Of MACC" bersama Persatuan Bekas Pegawai SPRM Selangor/Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata, SPRM juga akan melancarkan laman rangkaian sosial Facebook SPRM pada 16 April ini.

"Dengan cara ini, kami berharap dapat menyalurkan maklumat yang tepat dan benar kepada masyarakat agar isu yang dibangkitkan dari semasa ke semasa dapat diterangkan sedikit sebanyak," katanya.

Abu Kassim berkata, masyarakat juga boleh memberi pandangan mereka kepada SPRM bagi penambahbaikkan tugas SPRM.

"Perkhidmatan yang kita berikan ini adalah percuma kepada masyarakat kerana kita nak masyarakat faham dan mendapat maklumat sebenar apa yang terjadi dalam sesuatu isu yang dibangkitkan," katanya.

Abu Kassim turut melancarkan Persatuan Bekas Pegawai BPR untuk dijadikan platform bagi bekas pegawai menyuarakan pandangan kepada SPRM.

Beliau berharap kira-kira 200 ahli persatuan itu akan dapat menjadi barisan hadapan kepada SPRM dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap SPRM. - Bernama

No comments:

Post a Comment