Wednesday, March 31, 2010

Pelan tindakan dilancar

Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my



Hishammuddin Tun Hussein bersama Shahrizat Abdul Jalil melancarkan buku The National Action Plan Against Trafficking In Persons di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Komitmen dan aspirasi kerajaan untuk memerangi jenayah pemerdagangan orang diperkukuhkan hari ini dengan pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang.

Pelan yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu akan dijadikan panduan kepada usaha memerangi jenayah berkenaan sekali gus menjadi pelengkap kepada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Ia mengandungi lima prinsip panduan selain masing-masing sembilan matlamat strategik dan bidang program untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2015.

Hishamuddin berkata, pelan berkenaan merupakan satu platform untuk menggembleng usaha pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah rakyat jelata.

Kerana itu, kata beliau, pihaknya turut melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pelbagai agensi lain yang sebelum ini bergerak secara berasingan dalam isu yang sama.

"Pemerdagangan orang merupakan sesuatu yang serius untuk ditangani bersama.

"Dalam hal ini, saya percaya apa yang disediakan sebagai asas sekarang, adalah mencukupi untuk kita menganjakkan tindakan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang di sini hari ini.

Menyaksikan pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sasaran jangka pendek dalam tempoh satu hingga dua tahun pelan berkenaan adalah mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak berkaitan di samping mengetatkan keselamatan sempadan dan pembinaan kapasiti seperti menyediakan rumah perlindungan yang mencukupi, kempen kesedaran awam dan memupuk kerjasama dengan negara asing.

Untuk tempoh tiga ke empat tahun, ia akan memberi tumpuan kepada pengurangan pekerja asing dan mengukuhkan perundangan domestik untuk menyokong Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Dalam jangka panjang pula, pelan tersebut akan meneruskan rancangan jangka pendek dan pertengahan selain mengurangkan kes dan melahirkan pegawai yang berpengetahuan dalam isu berkaitan jenayah pemerdagangan orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pelan tindakan itu akan digunakan untuk menangani masalah persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini dalam isu pemerdagangan orang.

Katanya, perkara itu sebenarnya hanyalah persepsi semata-mata sedangkan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

"Tetapi ada kalanya kita tidak pandai masuk bakul angkat sendiri, tidak pandai pukul gendang dan tidak pandai menerangkan kepada pihak berkepentingan mengenai usaha yang telah kita lakukan.

"Saya akui ada kelemahan tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan masyarakat antarabangsa, ini akan ditangani dengan apa yang kita buat (pelan tindakan)," katanya.

No comments:

Post a Comment