Wednesday, March 3, 2010

Insentif tunai balai polis kurang kadar jenayah (3/3/10)

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

HISHAMMUDDIN mendengar pengalaman petugas TV3, Ratnawati Jamil (tiga dari kanan ) mengenai rompakan di rumahnya di Kota Damansara ketika menghadiri Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Kota Damansara, semalam.


PETALING JAYA: Kerajaan akan memberi insentif wang tunai menerusi sistem penarafan bintang dikenali 'Liga Balai Polis' bagi mengiktiraf balai yang mencapai sasaran membanteras serta mengurangkan kadar jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata insentif itu akan dikongsi setiap warga balai polis berkenaan daripada peringkat ketua sehingga pemotong rumput.

Beliau berkata, antara kriteria utama yang diambil kira dalam penarafan bintang itu ialah kejayaan balai polis berkenaan membanteras serta mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.



Hishammuddin berkata, liga berkenaan yang dijangka dilancarkan dua minggu lagi, dapat memastikan standard 754 balai polis di seluruh negara dipantau, selain memberi penghormatan, pengiktirafan dan semangat untuk terus menjaga kebajikan serta kedudukan balai masing-masing.

"Kita akan paparkan senarai balai polis dalam kedudukan 10 terbaik, manakala yang lain perlu diberi ruang untuk memperbaiki diri supaya boleh diletakkan pada barisan teratas.

"Inilah cara bagaimana kita sentiasa meletakkan nilai tambah kepada gerakan kita. Liga Balai Polis ini hanya satu daripada 52 inisiatif yang dibincangkan pada peringkat makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Kota Damansara di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, maklumat terperinci liga itu termasuk jumlah ganjaran wang tunai akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis pelancarannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata, tahun ini adalah masa untuk pelaksanaan segala inisiatif yang diumumkan dan bukan lagi tempoh untuk berbincang atau mendapat pandangan, dengan mengaplikasikan pendekatan lebih kreatif berbanding dulu, termasuk peruntukan 90 balai polis bergerak.

Mengenai balai polis di kawasan `panas' yang mungkin menghadapi kekangan untuk mencapai penarafan bintang lebih tinggi berbanding balai polis di kawasan `tenang', Hishammuddin berkata:

"Rakyat akan menilai sendiri sama ada wujud liga atau pun tidak. Apa yang saya hendak lakukan ialah memberi semangat kepada mereka. Saya tahu ada balai polis di mana orang ramai, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemaju perumahan tampil membantu."

Malah, katanya, jenayah indeks sudah menurun sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 berbanding suku kedua tahun sama, manakala jenayah jalanan menurun 7.6 peratus dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri kini berada dalam landasan terbaik untuk merealisasikan matlamat penurunan jenayah indeks dan jenayah jalanan.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, beliau akan meneruskan program turun padang seperti di Kota Damansara bagi mendapat maklum balas secara langsung dari peringkat akar umbi.

"Orang ramai juga boleh berjumpa saya untuk sebarang aduan jika ada balai polis yang tidak buat kerja," katanya.

No comments:

Post a Comment