Monday, March 8, 2010

KDN wujudkan pangkalan data

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 8 Mac 2010 - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewujudkan pangkalan data nasional berhubung warga asing bagi memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu perlu kerana aktiviti warga asing sepanjang berada di negara ini akan dapat direkodkan dengan cepat dan boleh digunakan oleh agensi penguatkuasaan untuk rujukan.

Menurutnya, ia juga akan memastikan rekod keluar masuk dan aktiviti dalam negara semua kategori warga asing dapat disepadukan dengan sistem pemantauan.

"Dari segi penguatkuasaan, pangkalan data itu akan dapat menyediakan keperluan maklumat berhubung status semasa setiap warga asing termasuk jenis permit dan pas serta tempoh sah laku pada bila-bila masa operasi dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan.

"Cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing kali ketiga yang dipengerusikan oleh saya hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, selain keperluan prasarana yang bersesuaian, penyediaan pangkalan data ini juga memerlukan kepada penggubalan undang-undang untuk membolehkan pelaksanaannya secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkaitan.

"Antaranya, semua pihak yang didapati berurusan dengan warga asing yang berada di negara ini seperti pihak hotel, pengusaha rumah sewa, pusat pengajian tinggi, hospital dan majikan akan diwajibkan untuk menghantar maklumat kepada pihak yang menguruskan pangkalan data ini.

"Penglibatan orang ramai juga akan dapat ditingkatkan apabila maklumat yang mereka salurkan berhubung warga asing dapat diproses pada kadar segera," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberitahu akan bertemu dengan Ketua Pengarah Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), William Lacy Swing di sini esok.

Katanya, antara perkara dibincangkan adalah penubuhan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur dan cadangan untuk membantu melatih pegawai penyiasat dan pendakwa berhubung kes-kes melibatkan pemerdagangan manusia.

"Saya percaya kewujudan pejabat cawangan IOM akan membantu KDN dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia, penyeludupan orang serta masalah berkaitan dengan migrasi," katanya.

IOM adalah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula.

No comments:

Post a Comment